Sindiket curi kabel tumpas, polis cari ‘Castello’

Sindiket curi kabel tumpas, polis cari ‘Castello’

AHMAD Sukarno (dua kiri) menunjukkan kabel yang dicuri di sekitar Kepong dan Sentul, pada sidang media di IPD Sentul.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taktik licik lima sekawan mencuri kabel yang menyamar sebagai pekerja penyelenggaraan tumpas selepas kesemua suspek ditangkap dalam beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima aduan kes kecurian sebuah syarikat telekomunikasi tempatan di Jalan Lang Kuning, Kepong, 29 November lalu.

“Polis berjaya menahan lima lelaki warga tempatan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. 

“Kesemua suspek berusia antara 19 tahun dan 52 tahun. Semakan rekod mendapati kesemua suspek tersebut mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. 

Jelasnya, susulan dari tangkapan yang dilakukan, pihak polis turut merampas dua buah kereta, enam buah telefon bimbit pelbagai jenama, kabel tembaga dan guni mengandungi barangan tersebut anggaran berat 840 kilogram serta beberapa peralatan yang digunakan untuk memotong kabel. 

Tambah Ahmad Sukarno, jumlah keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM150,000. 

Menurutnya, kesemua suspek menunjukkan mereka sudah biasa dengan kerja-kerja penyelenggaraan ekoran aktiviti tersebut seolah-olah menjalankan kerja membaik pulih. 

“Suspek menggunakan sebuah lori dikatakan dicuri untuk menarik kabel yang sudah dipotong naik ke permukaan jalan dan mengangkutnya menggunakan sebuah kereta milik isteri salah seorang suspek,” katanya. 

Tambahnya, hasil barang-barang yang dicuri itu akan dijual semula di kedai barangan lusuh untuk mendapatkan wang bagi kelangsungan hidup. 

“Susulan dari operasi yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak tiga kes kecurian yang dilaporkan di sekitar kawasan Sentul, Kuala Lumpur,” katanya. 

Katanya, empat suspek telah dituduh pada 3 Disember di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (Mengalihkan harta dengan curang tanpa kerelaan pemilik) dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan (Menghapuskan apa-apa harta curi), manakala seorang suspek dibebaskan.

“Polis kini dalam usaha untuk mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas berusia 23 tahun dikenali sebagai Castello. 

“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan jenayah dan dadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya