Simpang lampu isyarat lokasi 'pilihan' buang puntung rokok - CAP

Simpang lampu isyarat lokasi ‘pilihan’ buang puntung rokok – CAP

N.V. Subarrow bersama replika longgokan puntung rokok di pejabatnya di George Town, Pulau Pinang baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kawasan persimpangan lampu isyarat dikenal pasti sebagai antara lokasi pilihan yang menjadi tempat pembuangan puntung-puntung rokok ketika ini.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subarrow berkata, maklumat itu diperoleh hasil tinjauan yang dilakukan di beberapa lokasi di seluruh Pulau Pinang, Sungai Petani, Kedah dan Ipoh, Perak.

Subarrow yang juga aktivis antimerokok berkata, perkara itu turut diakui sendiri oleh beberapa pekerja majlis perbandaran atau bandaraya yang terpaksa mengutip sejumlah besar puntung rokok yang dibuang di kawasan tersebut.

“Sebelum turun dari kereta atau motosikal, perokok-perokok ini hanya membuang puntung rokok mereka ke jalan raya. Hanya beberapa langkah, ada yang melempar puntung rokok dengan sesuka hati.

“Pada masa ini, mereka (petugas majlis) berkata, jumlah perokok yang membuang puntung rokok semakin meningkat dan mereka turut mengakui bahawa banyak puntung rokok yang dibawa oleh hujan atau banjir ke dalam longkang dan terus ke sungai.

“Perokok ini tidak membuang sisa lain tetapi membuang puntung rokok secara sewenang-wenangnya. Jadi, pekerja-pekerja itu bersetuju bahawa perokok tersebut mesti dikenakan hukuman,” katanya di sini, hari ini.

Subarrow juga memberitahu, puntung rokok adalah sumber utama pencemaran dan boleh membahayakan alam sekitar dalam pelbagai cara.

“Puntung rokok yang mengandungi penapis plastik adalah bahan yang paling banyak dibuang dan bersepah di seluruh dunia iaitu sehingga 4.5 trilion ketika ini sehingga menjejaskan alam sekitar,” ujar beliau.

Oleh itu, Subarrow berkata, tidak hairanlah andai puntung rokok kini berada di bahagian atas senarai bahan plastik dalam jumlah serpihan yang dikumpul iaitu sebanyak 33 peratus dalam pembersihan pantai serta dalam kutipan sampah perbandaran di negara ini.

“Menurut Sistem Pemantauan Pencemaran Sampah Kebangsaan pula, puntung rokok menyumbang separuh daripada sampah jalanan negara dan merupakan ‘penyakit sampah terbesar’ ketika ini,” katanya yang berharap kesihatan pekerja majlis yang terpaksa mengutip puntung rokok saban hari dilindungi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya