KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa untuk menambahbaik silibus pendidikan seks kebangsaan bagi mengelak kanak-kanak terus terdedah dengan risiko jenayah seksual.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Yeo Bee Yin berkata, pihaknya mendapati bahawa umur kanak-kanak yang terlibat dengan kes-kes jenayah seksual adalah serendah lapan tahun.
Kata beliau, terdapat persoalan sama ada golongan kecil itu benar-benar memahami isu-isu pendidikan seks yang disampaikan di sekolah dan adakah silibus tersebut mampu melindungi anak-anak dari risiko jenayah seksual.
Sehubungan itu, katana, KPM perlu mengkaji semula silibus pendidikan seks yang diajari di sekolah bagi melindungi kanak-kanak dan mengelak mereka dari menjadi mangsa kepada jenayah seperti sexsual grooming atau antunan seksual.
“KPM perlu mengkaji semula semua topik-topik yang berkaitan termasuk topik persenyawaan supaya sepadan dengan cabaran memandangkan umur kematangan kanak-kanak semakin muda.
“Selain itu, memasukkan topik berkenaan undang-undang yang melibatkan hak asasi dan tanggungjawab kanak-kanak serta hukuman yang berkaitan kesalahan jenayah seksual terutamanya kes suka sama suka melibatkan kanak-kanak bawah umur,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media, Bangunan Parlimen hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, KPM melancarkan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam usaha menangani peningkatan remaja hamil luar nikah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan berkata, garis panduan itu disifatkan sebagai tepat pada masanya, memandangkan cabaran dihadapi negara dengan pelbagai isu termasuk keganasan seksual terhadap kanak-kanak dan gadis muda.
PEERS direka untuk menyampaikan mesej secara langsung kepada masyarakat khususnya pendidik, ibu bapa dan komuniti yang lebih luas, termasuk organisasi bukan kerajaan bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan reproduktif.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Puchong itu berkata, KPM perlu melaksanakan aktiviti PEERS tambahan di luar waktu pembelajaran secara berasingan di antara pelajar lelaki dan perempuan untuk topik yang khusus dan sensitif.
Jelasnya, ia bagi menyediakan suasana yang kondusif dan selesa kepada guru dan pelajar untuk memahami isu dengan lebih baik.
“Malah, KPM perlu melaksanakan pemerkasaan kepakaran dan pengkhususan guru guru dalam mengajar PEERS dan hak asasi kanak-kanak di sekolah,” katanya.
Bee Yin berkata, jawatankuasanya mencadangkan KPM untuk menambah empat aspek lain di dam kurikulum Pendidikan Kesihatan.
Beliau berkata, antaranya adalah merangkumi kandungan menyeluruh seperti panduan menangani sentuhan selamat dan tidak selamat, termasuk dalam situasi melibatkan ahli keluarga, serta memperkasakan murid dengan strategi praktikal di luar skop buku teks.
“Selain itu, isu seperti mengejek dan body shaming harus diberi perhatian dengan memupuk penghargaan terhadap tubuh dan ciri-ciri semula jadi bagi meningkatkan keyakinan diri.
“Pendekatan holistik diperlukan untuk menangani pedofilia, termasuk pendidikan perlindungan kanak-kanak, memperkasakan ibu bapa dan pendidik dengan pengetahuan mengenal pasti ancaman, serta mendidik kanak-kanak tentang batasan fizikal dan emosi.
“Pendidikan Kesihatan juga perlu menekankan kemahiran bersosial dan kepimpinan untuk mengimbangi pengaruh penggunaan alat teknologi yang tidak terkawal, di samping meningkatkan kesedaran tentang penyakit berjangkit seperti penyakit kelamin (STD) melalui maklumat menyeluruh tentang punca, penularan, gejala, kesan, dan pencegahan,” jelasnya.-UTUSAN