Sijil halal: Kerajaan Kelantan bebankan peniaga PKS

Sijil halal: Kerajaan Kelantan bebankan peniaga PKS

KERAJAAN Kelantan mahu menetapkan polisi di mana perniagaan makanan dan minuman (F&B) di negeri itu perlu memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat memperbaharui lesen perniagaan mereka.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan diterajui Pas digesa supaya menghormati pilihan pemilik perniagaan makanan dan minuman (F&B) di negeri itu serta pelanggan mereka termasuk dalam kalangan bukan Islam.

Dalam kenyataan bersama Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Syahredzan Johan, pelaksanaan itu membebankan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang perlu menanggung kos permohonan sijil halal.

“Kerajaan Kelantan harus belajar dan mencontohi pendekatan Kerajaan Madani berhubung permohonan sijil halal.

“Mereka patut mengakui bahawa slogan ‘Pas For All’ (Pas untuk semua) yang telah mati secara rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.

 Mereka mengulas berhubung laporan pemilik F&B di Kelantan perlu memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Media sebelum ini melaporkan, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, setakat ini Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mewajibkan perkara tersebut dan pelaksanaannya akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri itu.

Mohd. Asri berkata, setakat Januari hingga Disember tahun ini, sebanyak 453 premis sudah diiktiraf sebagai pemilik SPHM di mana daripada jumlah itu, 198 premis terletak di Kota Bharu dan selebihnya di jajahan seluruh Kelantan.

Kata beliau, hampir 80 peratus pemilik premis berkenaan adalah Melayu Islam dan selebihnya bukan Islam.

Mengulas lanjut, Nie Ching  dan Syahredzan berkata, syarat berkenaan yang disifatkan sebagai sangat eksklusif dan bersifat diskriminasi itu bercanggah dengan ucapan Krismas Pas sebelum ini yang menekankan kepelbagaian budaya Malaysia dalam menyumbang kepada keharmonian dan perpaduan masyarakat negara ini.

“Dasar ini secara langsung meminggirkan perniagaan bukan Islam dengan secara terbuka melarang hidangan tradisional seperti Bak Kut Teh, Char Siu dan Siu Yuk (daging babi panggang) dihidangkan di Kota Bharu.

“Tindakan sebegini mengabaikan hak dan mata pencarian masyarakat bukan Islam serta menghakis semangat kepelbagaian Malaysia,” katanya.

Malah mereka berkata, dasar kerajaan negeri pada masa ini bercanggah dengan corak kepimpinan bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah memberi jaminan akan menghormati amalan dan budaya masyarakat bukan Islam termasuk menternak dan menjual daging babi di Kelantan.

Pada September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar pernah mencadangkan langkah serupa di peringkat Pusat apabila restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan babi atau alkohol dikehendaki mendapatkan sijil halal.

Namun perkara itu mencetuskan bantahan pelbagai pihak terutamanya mengenai kos dan syarat ketat mendapatkan sijil halal tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya