PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan yang diterajui Pas digesa supaya menghormati pilihan pemilik perniagaan makanan dan minuman (F&B) di negeri itu serta pelanggan mereka.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching dan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Syahredzan Johan mengulas berhubung laporan pemilik F&B di Kelantan perlu memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat memperbaharui lesen perniagaan mereka.
Menurutnya, pelaksanaan dasar yang membebankan pengusaha kecil dan sederhana perlu dihentikan dan mengasingkan serta menyingkirkan pihak yang berbeza pandangan.
“Kerajaan Kelantan harus belajar dan mencontohi pendekatan yang diambil oleh kerajaan Madani.
“Atau, mereka patut mengakui bahawa slogan ‘Pas For All’ telah mati secara rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, setakat ini Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mewajibkan perkara tersebut dan pelaksanaannya akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri itu.
Menurut laporan tersebut, Asri berkata, setakat Januari hingga Disember tahun ini, sebanyak 453 premis sudah diiktiraf sebagai pemilik SPHM di mana daripada jumlah itu, 198 premis terletak di Kota Bharu dan selebihnya di jajahan seluruh Kelantan.
Kata beliau, hampir 80 peratus pemilik premis berkenaan adalah Melayu Islam dan selebihnya bukan Islam.
Mengulas lanjut, Teo dan Syahredzan berkata, syarat berkenaan yang disifatkan sebagai ‘sangat eksklusif dan bersifat diskriminasi’ bercanggah dengan ucapan Krismas daripada Pas yang menekankan kepelbagaian budaya Malaysia dalam menyumbang kepada keharmonian dan perpaduan masyarakat negara ini.
“Dasar ini secara langsung meminggirkan perniagaan bukan Islam dengan secara terbuka melarang hidangan tradisional seperti Bak Kut Teh, char siu dan siu yuk (daging babi panggang) dihidangkan di Kota Bharu.
“Tindakan sebegini mengabaikan hak dan mata pencarian masyarakat bukan Islam serta menghakis semangat kepelbagaian Malaysia,” katanya.
Kedua-dua ahli parlimen itu berkata, dasar kerajaan negeri pada masa ini bercanggah dengan kepimpinan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah memberi jaminan akan menghormati amalan dan budaya masyarakat bukan Islam termasuk menternak dan menjual daging babi di Kelantan.
Pada September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mencadangkan langkah serupa di peringkat pusat apabila restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan babi atau alkohol dikehendaki mendapatkan sijil halal.
Perkara itu mencetuskan bantahan terutama mengenai kos dan syarat ketat mendapatkan sijil halal tersebut.
Malah, ia juga mencetuskan kontroversi apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, dikritik kerana didakwa tidak menghormati agama Islam semasa membangkitkan isu berkaitan cadangan itu.
Kabinet akhirnya memutuskan untuk mengekalkan dasar sedia ada di mana pemilikan sijil halal perlu dibuat secara sukarela dan berjanji memperbaiki proses pensijilan tersebut. – UTUSAN