PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya merangkul tiga emas dan satu perak dalam program inovasi Seoul International Invention Fair (SIIF) 2024 yang berlangsung selama empat hari di Seoul, Korea Selatan.
TUDM dalam satu kenyataan berkata, anugerah pingat emas diperoleh menerusi projek inovasi RAIN berdasarkan penilaian SIIF dan satu pingat emas untuk Anugerah Khas Jemputan Thailand.
Selain itu kata, satu pingat perak di rangkul menerusi projek inovasi RWR B-Sensing dalam program yang berlangsung pada 27 sehingga 30 November lalu.
“TUDM juga menerima satu emas (Anugerah Khas Jemputan Vietnam) untuk projek RAIN dan RWR B-Sensing.
“Semua penilaian projek inovasi telah dilaksanakan pada 27 November lalu oleh dua juri profesional Korea Selatan bersama seorang juru bahasa. Proses penilaian mengambil masa 15 minit setiap projek meliputi pelbagai aspek termasuk impak kepada masyarakat global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu TUDM berkata, selain kejayaan pingat, TUDM turut menerima pujian dan penghargaan serta kolaborasi idea dari lapan negara iaitu Korea Selatan, Indonesia, Morocco, Thailand, Taiwan, Filipina, Arab Saudi dan Vietnam.
“Ketua Delegasi Inovasi TUDM, Leftenan Kolonel Mohamad Rosdzni Abdul Karim berjaya mengatur gerak, mengkaji serta memastikan pasukan inovasi TUDM bersedia bersama kelengkapan dengan baik.
“Manakala Ketua Projek RAIN, Mejar Mohd Haziq Izzat Sulaiman serta Ketua Projek RWR B-sensing, Mejar Hasif Yahaya masing-masing telah memberi persembahan yang cemerlang semasa penilaian Juri selain moderator Mejar Hairul Zaimy Ibrahim,” jelasnya. – UTUSAN