Siapa kata naik LRT tidak boleh bergaya? - Utusan Malaysia

Siapa kata naik LRT tidak boleh bergaya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEWUJUDAN pengangkutan awam seperti Komuter, LRT, MRT, KTM dan bas sememangnya memudahkan perjalanan setiap masyarakat selain dapat menjimatkan kos. 

Namun, jarang sekali seorang penggiat industri seni hiburan mahu menaiki dan memanfaatkan pengangkutan awam yang sememangnya sesak dengan orang ramai. 

Berbeza pula dengan bekas penyampai radio, Keanu Azman yang menjadikan menaiki pengangkutan awam sebagai aktiviti kegemarannya pada masa lapang. 

Keanu atau nama lengkapnya Mohamad Keanudin Mohamad Azman, 27, berkata, menaiki pengangkutan awam adalah alternatif lain untuk dirinya bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat. 

“Saya suka menaiki tren seperti LRT dan MRT. Saya anggap menaiki pengangkutan awam sebagai senaman harian saya. Saya tidak suka berlari dan pergi gim tapi saya suka berjalan. 

“Jadi, untuk saya pergi ke setiap destinasi sama ada ke tempat kerja, ke masjid dan membeli belah memang saya gunakan pengangkutan awam. Saya akan menaiki pengangkutan awal dalam dua hingga tiga kali seminggu. 

“Kebiasaannya, saya akan menaiki tren ketika tiada jadual kerja yang padat atau cuti. Saya akan sentiasa cari peluang untuk menggunakan pengangkutan awam seperti tren untuk gaya hidup yang sihat. 

“Selain menaiki tren, saya juga suka mencari masjid-masjid yang cantik. Jadi, saya selalu pergi ke Masjid Negara, Masjid KLCC dan Masjid Muadz Bin Jabal naik LRT,” katanya kepada Pancaindera. 

Selain dapat membawa ke pelbagai destinasi yang menarik, Keanu memberitahu, salah satu manfaat menaiki pengangkutan awam seperti tren dapat membantu dirinya untuk berjimat cermat kerana kosnya yang ‘mesra poket’. 

Tambah Keanu, dia tidak segan untuk meneroka setiap perjalanannya dengan menaiki pengangkutan awam meskipun dirinya sudah mula dikenali dalam industri hiburan tanah air. 

“Pada saya, menaiki pengangkutan awam itu adalah amalan yang sihat. Lebih banyak saya berjalan, lebih banyak saya kumpul jejak langkah seharian saya menerusi jam tangan pintar. Nak capai 10,000 jejak dalam sehari semakin mudah. 

“Saya rasa istimewanya hobi saya ini, tidak ramai orang dalam industri hiburan mahu menaiki pengangkutan awam. Mungkin sesetengah mereka berasa malu tetapi bagi saya sebenarnya kita semua sama.  

“Pengangkutan awam ini sangat murah, saya siap beli pas bermusim, MY50 yang hanya memerlukan RM50 sahaja sebulan. Dengan jumlah itu juga saya boleh pergi ke macam-macam tempat. 

“Saya rasa sangat istimewa sebab dapat berjimat selain meningkatkan tahap kesihatan dan mengubah gaya hidup,” jelasnya. 

Dalam masa sama, Keanu mengakui dia baru sahaja mengamalkan hobinya itu selepas tidak lagi menjadi penyampai radio di stesen HITZ FM sejak Jun lalu. 

Katanya, sebelum ini dia tidak pernah berpeluang untuk meneroka kemudahan awam itu kerana tempat kerjanya jauh dari stesen LRT. 

“Hobi ini saya mula minat sejak tahun ini. Sebelum ini, saya bekerja di sebuah stesen radio. Saya tinggalkan radio pada Jun lalu. Dulu saya kena ulang alik ke tempat kerja setiap hari untuk ke udara. 

“Tetapi, saya tidak dapat gunakan LRT sebab agak jauh dari tempat kerja. Selepas tamat kontrak, saya rasa apa salahnya gunakan pengangkutan awam. 

“Saya pernah hos sebuah majlis perkahwinan di sebuah hotel lima bintang, saya yang berpakaian sut lengkap bersama kasut kulit pergi ke majlis tersebut dengan menaiki tren. 

“Ya, saya sampai dengan selamat. Siapa kata naik LRT tidak boleh bergaya?,” katanya bersahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya