PETALING JAYA: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumumkan bahawa Kerajaan telah bersetuju dengan pelantikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga baharu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
Menurut kenyataannya, Shamsul Azri Abu Bakar yang berusia 55 tahun mempunyai pengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam.
Beliau pernah berkhidmat di pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Pentadbiran Kerajaan Negeri.
“ST mengalu-alukan kepimpinan beliau untuk membawa agenda ST ke tahap yang lebih tinggi.
“ST juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Mohamad Razif Abd Mubin atas sumbangan serta khidmat bakti beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi Sementara ST,” katanya. – UTUSAN