PUTRAJAYA: Set pertama daripada keseluruhan 11 set tren Electric Multiple Unit (EMU) enam gerabak buatan syarikat CRRC Dalian bagi pengoperasian ECRL dijangka tiba di Malaysia menjelang akhir tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, reka bentuk tren EMU jenis enam gerabak itu mampu memuatkan kapasiti 430 penumpang pada satu masa dan turut dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan para penumpang.
Selain itu, katanya, set EMU berkenaan turut mempunyai tempat duduk bagi penumpang orang kelainan upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda atau penumpang yang memerlukan pertolongan khas.
“Pembinaan projek ECRL yang bernilai RM50.27 bilion turut melibatkan perolehan tren EMU untuk penumpang serta Lokomotif Elektrik (E-Loco) untuk kargo.
“Tren EMU ini akan bergerak pada kelajuan maksimum 160 kilometer sejam (km/j) apabila memulakan operasi komersialnya kelak iaitu pada Januari 2027 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dengan masa perjalanan selama empat jam sahaja.
“Pada masa sama, projek ECRL memperuntukkan sebanyak 12 set E-Loco dari CRRC Dalian bagi tujuan pengangkutan kargo, di mana set yang pertama juga akan tiba di Malaysia menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengoperasian ECRL antara MRL Sdn. Bhd. dan China Communications Construction Company Ltd serta Pelancaran Reka Bentuk Tren EMU dan Logo ECRL di sini hari ini. – UTUSAN