KOTA KINABALU: Tindakan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyerang slogan ‘Rumah kita, Kita Jaga’ jelas menunjukkan kebimbangan UMNO Sabah terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Bung Moktar harus sedar rakyat Sabah semakin memberi sokongan kepada parti tempatan yang dilihat mampu memenuhi aspirasi rakyat.
Serangan yang dilakukan oleh Bung Moktar itu jelas menunjukkan UMNO bimbang dengan sokongan rakyat yang semakin berkurang kepada mereka.
Dalam ucapan Timbalan Presiden GRS, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, beliau menggunakan slogan ‘Rumah kita, Kita jaga’ bagi menyarankan Pemuda GRS agar sentiasa mempertahankan hak mereka dan berhati-hati dengan musuh dalam selimut.
“Saya agak hairan kenapa Ketua UMNO Sabah begitu terkesan dengan ucapan tersebut. Adakah beliau secara tidak langsung mengakui bahawa UMNO adalah musuh dalam selimut untuk kerajaan negeri.
“Bagi saya tidak wajar Bung Moktar melakukan serangan peribadi terhadap Dr. Jeffrey dengan mengungkit perjalanan politik Jeffrey yang penuh berliku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam berkata, apa yang cuba disampaikan oleh Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu adalah ingin melihat rakyat dan pemimpin di negeri Sabah bersatu untuk menolak dasar pecah dan perintah.
Kata beliau, Jeffrey berhujah berdasarkan fakta dan bukan retorik politik semata-mata. Selaku Ahli Parlimen Kinabatangan selama beberapa penggal, Bung Moktar pasti sedar kawasan Parlimennya masih mundur dan daif selama berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN). – UTUSAN