KUALA LUMPUR: Seorang wanita didenda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat terhadap sebuah kenderaan, empat bulan lalu.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membuat keputusan itu selepas Nur Haziqah Shaiful Yazan, 25, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan, tertuduh perlu dipenjara selama dua bulan.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa telah dengan sengaja melakukan khianat dengan menyimbah peluntur cat di keliling badan sebuah kereta, di lot parking kereta aras 6, Razak City Residensi, Sungai Besi pada pukul 12.30 petang, 30 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman diseksa dan dipenjara minimum satu tahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan mahkamah memberikan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh. Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar dikenakan hukuman seminima yang mungkin.
Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan seorang pemandu peribadi telah meletak kereta jenis Toyota Alphard berwarna hitam di tempat meletak kereta lokasi tersebut dalam keadaan berkunci baik
Bagaimanapun pada keesokan harinya, semasa pengadu hendak menggunakan kereta, dia mendapati terdapat kesan kerosakan di kereta tersebut dan mengesyaki ia merupakan perbuatan khianat.
Dia kemudian membuat laporan adalah kerana bimbang keselamatan diri sekeluarga dan juga harta-benda serta untuk tindakan selanjutnya dan jumlah kerugian adalah sebanyak RM10,000.-UTUSAN