PAPAR: Seorang remaja ditemukan lemas manakala, dua mangsa lain dilaporkan hilang semasa menjalankan aktiviti mandi-manda di pantai di Kampung Bundusan, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa bersama seorang rakan lain dilaporkan hilang semasa mandi-manda di pantai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 5.38 petang dan sepasukan lapan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati empat lelaki termasuk seorang remaja dan dua kanak-kanak dilaporkan lemas dan dua mangsa telah ditemukan.
“Salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian semasa pegawai perubatan memberi bantuan pernafasan (CPR) manakala, seorang lagi diselamatkan oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, pasukan bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari dua lagi mangsa yang masih hilang. – UTUSAN