KUALA LUMPUR: Seorang jurujual didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengheret seekor kucing, bulan lalu.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membuat keputusan itu selepas G. Kuan Pan, 45, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan, tertuduh perlu dipenjara selama 10 hari. Bagaimanapun, dia membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menarik seekor kucing dengan menggunakan tali yang diikat di leher haiwan berkenaan di lobi sebuah apartment The Scott Garden, jalan Klang Lama, pada pukul 3 pagi, 21 November lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksima RM100.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan hukuman maksima RM100 sebagai pengajaran dan demi kepentingan pemuliharaan kehidupan haiwan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu tidak mengemukakan sebarang rayuan.
Pada 23 November lalu, pengadu yang merupakan seorang jurulatih peribadi telah melihat satu video dari aplikasi xiaohongshu.com yang menunjukkan seorang individu yang tidak dikenali telah melakukan penderaan seekor kucing dengan cara menarik tali yang diikat pada leher kucing tersebut di dalam video itu.
Di dalam video tersebut, terdapat alamat tertera di ruang komen yang beralamat di Blok A Tingkat 23 Scott Garden Soho. Pengadu kemudian membuat laporan untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN