PARIT: “Dia nampak penat ketika lawan arus dan sempat minta tolong sebelum tenggelam dan tidak kelihatan lagi,” ujar Kijai, 39.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai Kijai itu merupakan rakan kepada Koperal Muhammad Taufik Sayutin, 39, yang ditemukan mati lemas ketika mandi di kawasan tali air dekat pintu gerbang Changkat Lada, Kampung Gajah di sini semalam.
Menurut Kijai, ketika kejadian, dia bersama Muhammad Taufik serta lapan rakan lain ke kawasan tali air itu untuk mandi selepas selesai perlawanan bola sepak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada.
Katanya, ketika di lokasi sekitar pukul 2 petang, mangsa telah terjun ke dalam tali air sebelum cuba berenang ke tebing dengan melawan arus namun lelaki itu dilihat seolah-olah penat.
“Daripada enam orang yang terjun, Taufik yang terakhir. Ketika dia cuba menghampiri tebing saya pula mahu ke atas. Dia kelihatan penat dan sempat cakap ‘tolong aku’ sebelum tenggelam.
“Saya dan rakan-rakan lain terjun semula ke dalam tali air untuk menyelamatkannya. Saya sendiri cuba menggapai tangan Taufik namun tidak berjaya,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham Muhammad Taufik di Tanah Perkuburan Islam Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah di sini hari ini.
Menurut pesara tentera itu, Muhammad Taufik yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Melaka itu dilihat teruja untuk mandi di tali air dan beberapa kali mengulangi hasrat tersebut termasuk pada malam sebelum kejadian itu.
“Sebelum dia balik kampung lagi dia dah cakap nak mandi ban, malah ketika serahkan baju untuk perlawanan bola sepak pun dia masih ulang hasrat yang sama.
“Lepas main bola pun dia cakap benda yang sama sampai dia beritahu kalau kami tidak ikut pun tak mengapa, dia mahu mandi bersama dua anaknya,” katanya.
Kijai berkata, pemergian Taufik dalam keadaan mengejutkan itu memberi tamparan dan kehilangan besar kepada rakan-rakan apatah lagi, allahyarham dikenali sebagai individu yang ceria dan aktif bermain bola.
“Kali terakhir kami adakan ‘reunion’ empat tahun lalu, tahun ini acara agak meriah kerana turut disertai batch (sesi) lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, mayat mangsa dijumpai pada pukul 4.55 pagi tadi oleh pasukan bomba selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan semalam.
Katanya, mayat Muhammad Taufik kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Iskandar untuk bedah siasat dan hasil daripada proses itu mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas.
“Maklumat kejadian itu diterima pada pukul 3 petang yang memaklumkan seorang lelaki hilang setelah terjun di tali air dekat pintu gerbang Changkat Lada.
“Operasi mencari mangsa digerakkan dengan bantuan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Teluk Intan sebelum mayat mangsa berjaya dijumpai pagi ini,” katanya.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Muhammad Taufik yang ditemukan maut di tali air Felcra Changkat Lada selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Changkat Lada di sini pada pukul 1.10 petang.
Terdahulu, jenazah bapa kepada tiga anak lelaki itu dibawa menaiki van jenazah dari Unit Forensik Hospital Seri Iskandar ke rumah keluarganya di Felcra Changkat Lada di sini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang juga merupakan anggota polis, Koperal Azlane Mat, 42, serta tiga anak lelaki berusia 15, 13, dan lapan tahun.
Ibu dan bapa Allahyarham, Sayutin Dalimun, 75, dan Jamiah Mansor, 67, turut hadir mengiringi pengebumian. – UTUSAN