Seludup dadah di KLIA tumpas, nilai lebih RM1.5 juta

Seludup dadah di KLIA tumpas, nilai lebih RM1.5 juta

SEBAHAGIAN dadah disita dalam dua kes berbeza di KLIA baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan dua cubaan menyeludup dadah jenis ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan rampasan seberat 31.09 kilogram (kg) bernilai hampir RM1.56 juta.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, dalam dua operasi berasingan pada 1 dan 2 November lalu, dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 18 tahun dan 22 tahun ditahan di Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, Terminal 1.

Katanya, kes pertama melibatkan seorang penumpang yang tiba dari sebuah negara di Eropah dengan pemeriksaan bagasi menggunakan mesin pengimbas mendapati imej mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut oleh Bahagian Perkastaman menemui 16.91 kg dadah disyaki ketamin yang disembunyikan dalam kotak makanan dan bungkusan minuman pracampuran, dengan nilai rampasan dianggarkan RM845,670,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Bagi kes kedua pula, beliau berkata, Bahagian Penguatkuasaan dengan kerjasama Bahagian Perkastaman Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang tiba dari Eropah.

“Suspek membawa bersamanya beberapa plastik berwarna putih mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis ketamin di dalam bagasi miliknya dengan anggaran berat 14.18 kg bernilai RM709,030,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Jelas Norlela, modus operandi kedua-dua suspek adalah dengan menyembunyikan dadah berbahaya di dalam kotak makanan dan bungkusan minuman pracampuran bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

  • “Selain itu, bagasi-bagasi tersebut juga telah didaftar masuk menggunakan kaedah
    ‘checked baggage’ bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya