Selesai isu alih kemudahan sebelum mula projek jalan - Exco

Selesai isu alih kemudahan sebelum mula projek jalan – Exco

MOHAMAD FAZLI Mohamad Salleh (tengah) menyampaikan bungkusan kepada pengguna jalan yang melalui Jalan Kampung Rahmat merentasi estet Sri Gading, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kerajaan negeri menasihati kontraktor dilantik dan Jabatan Kerja Raya (JKR), menyelesaikan isu berkaitan mengalihkan kemudahan dan infrastruktur yang menghalang laluan pembinaan terlebih dahulu sebelum sesuatu projek dimulakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, sekiranya isu berkenaan tidak diselesaikan awal, dikhuatiri timbul masalah ketika pelaksanaannya.

“Kontraktor dan JKR di setiap daerah seharusnya bertemu terlebih dahulu dengan pemilik atau pengendali sesebuah kemudahan awam serta infrastruktur dan melakukan perbincangan untuk mengalihkannya.

“Contohnya berkaitan tenaga elektrik, mereka perlu bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB), bagi bekalan air bertemu Ranhill SAJ, berkaitan perparitan, bertemu dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Menyiapkan Baki Kerja Bagi Membina Laluan Baharu Jalan Kampung Rahmat merentasi Estet Sri Gading, di sini hari ini.

Mohamad Fazli berkata, bagi sesetengah projek yang tidak mengalihkan kemudahan dan infrastruktur terlebih dahulu, kebanyakannya terpaksa meminta lanjutan tempoh serta tambahan kos pembinaan malah ada yang meningkat sehingga 30 peratus daripada kos asal.

“Sebagai contoh pembinaan jalan yang kita serah hari ini (Jalan Kampung Rahmat Merentasi Estet Sri Gading), berpunca daripada kontraktor yang gagal menyelesaikan isu memindahkan infra serta kemudahan menyebabkan projek yang sepatutnya siap pada tahun 2020 tertangguh dan hanya siap pada Oktober tahun ini,” katanya.

Bagi tahun depan di daerah ini, lapan lagi projek pembinaan dan naik taraf yang diuruskan oleh JKR, dengan tiga daripadanya telah dimulakan awal tahun ini, manakala lima lagi dilaksanakan tidak lama lagi.

“Lima projek dalam fasa pembinaan adalah laluan alternatif menghubungkan Jalan Parit Jalil dan Jalan Peserai, menaik taraf Jalan Mukim 6, Linau dan Mukim 7 Tanjung Sembrong (fasa 2), jalan baharu menghubungkan Jalan Olak Batu melalui Estet Tanjung Sembrong ke Jalan Persekutuan, naik taraf persimpangan Jalan Tan Swee Hoe serta Jalan Parit Besar dan naik taraf sistem saliran Mesra Alam Daerah Batu Pahat – pembinaan Jambatan Sungai Suloh.

“Projek di peringkat perancangan dan pembinaan adalah melibatkan kerja naik taraf Persimpangan Jalan Tongkang Pechah dan Jalan Bindu serta membina sebuah jambatan di Jalan Tongkang Pechah selain naik taraf Persimpangan Jalan Pontian – Jalan Parit Karjo yang dijangka bermula awal tahun depan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya