KOTA KINABALU: “Kenapa dia hantar nyawa dia pergi situ, dia pergi Korea mahu hantar nyawa dia di situ. Kalau di sini, aku boleh jaga kalau dia sakit gastrik,”.
Demikian luahan Sapina Hasan, 64, ibu kepada Hanalin Datu Harun, 39, yang meninggal dunia pada 24 November lalu akibat sakit akut gastrik semasa berada di Korea Selatan.
Berulang kali perkataan ‘Kenapa dia pergi korea, hantar nyawa saja di situ’ diungkapkan oleh ibu kepada lapan anak itu semasa menerima berita pemergian Hanalin atau lebih mesra dengan panggilan Nalin.
Hati ibu mana yang tidak luluh apabila sekujur tubuh kaku anaknya sahaja yang tiba dari Korea Selatan di Mas Kargo, di sini kira-kira pukul 12.50 tengah hari tadi.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belud Sadok, Kinarut Papar.
Kakak sulung Hanalin, Monalisa Datu Harun, 45, berkata, ibunya terduduk sebaik sahaja berita Nalin meninggal dunia di Korea Selatan diberitahu oleh adik mereka, Normah.
“Kami cuba menenangkan emak dengan memintanya beristighfar dan reda dengan ketentuan Allah SWT. Namun, apabila melihat ibu terduduk menerima berita tersebut, kami kehilangan kata-kata,” katanya semasa ketibaan jenazah Hanalin di MAS Kargo, hari ini.
Monalisa berkata, sukar untuk percaya adiknya itu telah pergi kerana semasa panggilan video pada 23 November, Nalin tidak mengadu apa-apa dan sempat bergurau senda dengannya.
“Perbualan kami seperti biasa, bertanya khabar dan berkongsi cerita tentang anak sulung saya yang berada di Melaka. Dia (Nalin) memang rapat dengan anak saya. Tiada perkataan yang menunjukkan dia ingin pergi buat selamanya.
“Selepas dia meninggal dunia, baru kami nampak paparannya dalam laman Tiktok. Paparan yang dimuat naik itu menjadi petanda dia akan pergi meninggalkan kami,” katanya.
Tambah Sapina, semasa menghubungi Nalin pada 21 November lalu, anak kelimanya itu ada memberitahu dia ingin pulang ke Sabah. Namun, tidak disangka kepulangannya itu dalam keadaan yang tidak lagi bernyawa.
“Saya ingat dia mahu pulang sebab tidak mahu kerja di sana lagi, rupanya dia (Nalin) seolah-olah tahu ajalnya sudah tiba,” katanya. – UTUSAN