Selepas ibu 'pergi', kini ayah pula 'tinggalkan' Athiyyah

Selepas ibu ‘pergi’, kini ayah pula ‘tinggalkan’ Athiyyah

MOHD. NAZIM Md. Yusuf menunjukkan gambar kenangan Allahyarham ibu, ayah serta adiknya bersama Athiyyah Nur Sofia ketika ditemui di rumah orang tuanya di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa tiga ahli keluarganya dalam kemalangan di Kilometer 45, Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya malam tadi, kini menjadi yatim piatu.

Dalam kemalangan itu, bapa Athiyyah Nur Sofia, 5, iaitu Muhamad Izuddin Md. Yusuf, 36, maut bersama datuk, Md. Yusuf Mukhtar, 71, dan neneknya, Rosnah Salleh, 65.

Lebih menyedihkan, kanak-kanak itu merupakan anak tunggal dalam keluarga yang baru sahaja kehilangan ibu tercinta dua tahun lalu akibat sakit.

Bapa saudara mangsa, Mohd. Nazim Md. Yusuf, 42, berkata, ketika kejadian anak buahnya itu dalam keadaan sedar manakala ibu dan ayahnya sudah meninggal dunia sementara adiknya masih sedar.

“Athiyyah sempat bertanya mana nenek, kata nak belanja makan, sedangkan ketika itu nenek dan datuknya sudah meninggal dunia. Athiyyah memang sangat rapat dan manja dengan datuk dan nenek kerana dia tinggal bersama-sama mereka sejak usia setahun.

“Saya difahamkan ketika kejadian, empat beranak ini dalam perjalanan hendak keluar makan malam di Felda Tenggaroh,” katanya ketika ditemui di Felcra Sungai Ara di sini semalam.

Anak sulung daripada enam beradik itu sempat memangku adiknya, Muhamad Izuddin sebaik sahaja sampai di lokasi kemalangan dan mengajar mengucap kalimah syahadah sebelum pihak ambulans membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketiga-tiga jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felcra Sungai Ara.

Mengenai penjagaan Athiyyah Nur Sofia, mereka adik beradik akan berbincang dan dia juga tidak kisah untuk menjadi penjaga kepada anak buahnya itu yang memang rapat dengan isterinya.

Terdahulu, tiga beranak dilaporkan maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan selepas Toyota Vios yang dipandu dari arah Kuantan, Pahang menuju ke Johor Bahru dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Persona dinaiki empat sekeluarga itu dari arah Kota Tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN