KUALA LUMPUR: Sebuah buku berkaitan pasukan polis bertajuk ‘PDRM: Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan dalam Mengekalkan Keamanan Negara’ dilancarkan hari ini bagi mengangkat sejarah dan pencapaian pasukan keramat itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, buku tersebut meraikan perjalanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih dua abad sebagai penjaga keamanan negara yang berkhidmat dengan penuh dedikasi mengenal erti lelah dan mengenepikan kepentingan peribadi.
Katanya, buku tersebut mengangkat cabaran, pengorbanan serta kisah-kisah warga PDRM dalam mempertahankan tanah air.
“Buku yang diterbitkan dengan adunan kompilasi bergambar disertakan dengan huraian ringkas pelbagai maklumat mengenai PDRM.
“Inisiatif penghasilan buku ini akan menjadi sumber rujukan menyebarkan informasi berguna serta menginspirasi masyarakat untuk lebih peka dan meningkatkan semangat patriotisme cintakan tanah air,” katanya ketika berucap dalam Pelancaran Buku Coffee Table PDRM sempena Program Siri Jelajah Galakan Masyarakat Membaca di Hotel Mandarin Oriental, di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan buku ‘PDRM: Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan dalam Mengekalkan Keamanan Negara’.
Buku yang mengangkat sejarah dan pencapaian PDRM itu merupakan hasil tulisan Prof. Dr. Mohamad Thariq Hameed Sultan dan Shafie Abdul Rahman.
Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Khas Buku Negara kepada tujuh penerima.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara ,Tan Sri Prof. Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dan barisan kepemimpinan tertinggi PDRM.
Sementara itu, penulis buku terbabit, Mohamad Thariq berkata, cabaran dalam menghasilkan buku tersebut lebih kepada mendapatkan fakta yang betul namun pihaknya mendapat kerjasama dan sokongan daripada PDRM.
Katanya, proses menghasilkan buku tersebut mengambil masa selama setahun sebelum dilancarkan untuk dijadikan bahan bacaan utama kepada masyarakat.
“Buku ini percuma dan akan diterbitkan sebanyak 30,000 hingga 40,000 naskah untuk diagihkan ke sekolah dan universiti,” katanya. – UTUSAN