Sebuah balai, empat pondok polis terjejas banjir

Sebuah balai, empat pondok polis terjejas banjir

MOHD. Khairi Khairudin (tengah) bertanya khabar warga Polis Diraja Malaysia (PDRM)  yang terjejas banjir pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Mangsa Banjir Warga PDRM Terengganu di Pondok Polis Tepoh, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sebuah balai dan tiga pondok polis terjejas sejak banjir gelombang pertama melanda Terengganu bermula 27 November lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, ia membabitkan Balai Polis Manir, Kuala Terengganu, Pondok Polis Kuala Jengai dan Pondok Polis Pasir Raja di Dungun serta Pondok Polis Tenang, Besut.

Katanya, balai dan pondok polis berkenaan ditutup untuk operasi sehingga banjir surut.

Katanya, proses penilaian akan dijalankan oleh bahagian logistik untuk mendapatkan anggaran kerugian.

“Orang awam yang ingin membuat sebarang urusan termasuk laporan ke balai berdekatan,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan banjir kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pondok Polis Tepoh di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, sebanyak 49 kediaman warga PDRM termasuk anggota dan pegawai polis terjejas dalam kejadian banjir kali ini.

“Bantuan segera akan diberikan kepada warga PDRM terlibat bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya merekodkan dua kes jenayah berlaku sepanjang banjir gelombang pertama.

Menurut beliau, kejadian pertama membabitkan kes pecah pejabat di sebuah sekolah rendah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) di Jertih, Besut pada 2 Disember lalu.

“Dalam kes tersebut, pihak sekolah kehilangan wang tunai RM3,000 dan kita telah menahan tiga suspek yang berusia antara 14 tahun hingga 16 tahun yang juga mangsa banjir di PPS  berkenaan.

“Satu lagi kes melibatkan kecurian motosikal di daerah Besut. Mangsa telah meninggalkan motosikal di tepi jalan pada petang Ahad lalu namun kenderaan itu telah hilang pada pagi keesokannya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya