PETALING JAYA: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menolak tohmahan dan persepsi negatif terhadap pelaksanaan hukuman sebatan syariah di Terengganu yang didakwa melanggar prinsip kemanusiaan dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut PPMM, dakwaan tersebut tidak berasas dan bercanggah dengan peruntukan undang-undang sedia ada serta fakta pelaksanaan hukuman itu.
“Sebatan syariah di Terengganu dilaksanakan mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 khususnya Seksyen 125 yang menetapkan kaedah pelaksanaan hukuman secara berperikemanusiaan.
“Pelaksanaan hukuman ini menggunakan alat sebatan ringan, diperbuat daripada rotan kecil dengan kekuatan sederhana, tanpa mencederakan pesalah.
“Kawasan sebatan juga terhad dan tidak melibatkan bahagian sensitif seperti muka, kepala, perut dan dada,” katanya dalam satu kenyataan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, duda anak lima yang menjadi individu pertama dihukum sebat khalayak ramai di dalam masjid atas kesalahan khalwat berulang di Masjid Al Muktafi Billah Shah di sini sebentar tadi.
Mohd. Affendi Awang, 42, menjalani hukuman sebat sebanyak enam kali di hadapan Timbalan Pengarah Penjara Marang, Mohd. Irwan Awang.
Mengulas lanjut, PPMM berkata, pelaksanaan hukuman ini mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Sebatan di Luar Penjara Bagi Pesalah Syariah yang digubal pada 2023 melalui Arahan Amalan No. 11 Tahun 2023.
Katanya, SOP tersebut memperuntukkan lokasi pelaksanaan hukuman di tempat yang sesuai seperti yang diputuskan mahkamah dengan syarat keselamatan dan kesesuaian persekitaran dipenuhi.
“Pemeriksaan kesihatan pesalah dilakukan oleh pegawai perubatan kerajaan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat sebelum hukuman dijalankan.
“Pelaksanaan hukuman ini dikendalikan oleh individu terlatih, menggunakan alat yang mematuhi piawaian ditetapkan dengan kaedah yang tidak mencederakan kulit atau bahagian badan pesalah,” katanya.
Selain itu, PPMM berkata, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November dan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu pada 16 Disember lalu mengambil kira aspek kesalahan berulang oleh pesalah sebelum menjatuhkan hukuman.
“Pelaksanaan hukuman ini dijalankan dengan adil, berhemah dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam serta hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,
“Pelaksanaan sebatan syariah tidak melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan kerana ia berlandaskan kuasa Dewan Undangan Negeri di bawah Perkara 74 dan Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Tambah PPMM, kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman ini diperkukuhkan melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
“Hukuman ini dilaksanakan di dalam Dewan Masjid, berpakaian menutup aurat dan mengikut hukum syarak iaitu jelas tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan.
“Sistem perundangan syariah adalah sebahagian daripada undang-undang negara yang sah dan pelaksanaannya tidak boleh dilihat secara sempit atau prejudis,” tegasnya. – UTUSAN