KOTA BHARU: Perbuatan menyebarkan naratif mengelirukan atau berniat tidak baik termasuk mempolitikkan hukuman sebat syariah yang dilaksanakan di Terengganu,semalam perlu dihentikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, semua pihak seharusnya memberi sepenuh kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakannya.
Katanya, hukuman sebatan syariah yang dilaksanakan di luar penjara secara terbuka di masjid oleh Kerajaan Negeri Terengganu terhadap pesalah khalwat berulang adalah langkah mendidik masyarakat secara lebih serius dan berkesan.
“Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada Terengganu atas pelaksanaan hukuman yang mendidik masyarakat dengan lebih berkesan dan selaras piawaian berteras syariah.
“Pelaksanaan ini insya-Allah akan diusahakan di Kelantan apabila mempunyai prosedur operasi standard (SOP) terbaik,” katanya hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu berkata, pada asasnya Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan perkara sama melalui Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat bagi pesalah dijalankan di khalayak ramai.
“Hukuman sebatan syariah yang dijalankan secara tertutup melibatkan kehadiran warden penjara sahaja telah lama dilaksanakan di semua negeri.
“Mengubah pelaksanaan dengan mengadakan hukuman sebat secara terbuka, mengikut tatacara syariah melibatkan had kuota 70 saksi seperti dilaksanakan di Terengganu adalah langkah yang mengambil roh hukuman syariah dan tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan syariah,” ujarnya.
Terdahulu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Asri Zainul Abidin dilapor menggesa jangan ada pihak menganggap mereka yang membantah pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai seperti tidak bersetuju dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, dalam isu khalwat, tiada penetapan syarak menyuruh pesalah disebat di khalayak ramai, bahkan tindakan berkenaan dibimbangi bercanggah dengan kehendak syarak yang menyuruh menutup keaiban peribadi individu.