KUALA LUMPUR: Genap seminggu pemergian arwah ibunya, Junainah Hashim, pelakon, Scha Alyahya tampil berkongsi luahan hati buat insan tercintanya itu.
Menerusi sebuah hantaran di Instagram, Scha mengakui sukar menempuhi ujian terbesar itu selain menyifatkan arwah ibunya sebagai seorang wanita luar biasa sepanjang hidupnya.
“Tiada kata yang mampu menggambarkan kehilangan ini, tapi saya nak ambil peluang ini untuk mengenang seorang wanita luar biasa yang telah memberikan Scha kehidupan, kasih sayang dan erti kekuatan,” katanya.
Scha atau nama lengkapnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 41, turut memuat naik potret kenangan bersama arwah ibunya ketika menjalani ibadah umrah bersama dalam perkongsian sama.
Selain itu, Scha juga sempat menzahirkan ucapan terima kasih atas segala titipan kata-kata semangat yang disifatkan persis kekuatan yang diharungi ibunya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.
“Terima kasih kepada semua yang telah mengirimkan kata-kata semangat dan doa diwaktu yang cukup mencabar ini.
“Semangat yang diberikan mengingatkan Scha tentang kekuatan yang Allahyarhamah Junainah binti Hashim ada, sehingga nafas terakhirnya,” jelasnya.
Lebih menyentuh hati, Scha turut memujuk rasa rindunya itu dengan mengenang momen manis ketika hayat arwah ibunya masih ada.
“Kepada mama tersayang, mama adalah cahaya petunjuk, orang kepercayaan, penyokong terbesar dan kawan baik saya.
“Saya akan sentiasa membawa kasih sayang mama, nilai dan gelak tawa dalam hati saya selamanya. Semoga Allah merahmati roh mama dan tempatkan mama di syurga tertinggi,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Awal Ashaari telah mengesahkan berita pemergian ibu mertuanya itu dalam sebuah hantaran di Instagram Story.
Difahamkan, Allahyarham Junainah telah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung. -UTUSAN