KUALA LUMPUR: Penyanyi dan Ratu Rock, Ella, tidak bersetuju dengan kenyataan dikeluarkan Man Bai yang mendakwa program Gegar Vaganza (GV) seperti menghina artis bertanding.
Ella atau Nor Zila Aminuddin, 57, yang pernah menjadi juri jemputan untuk program itu tahun lalu merasakan GV menawarkan sebuah platform persaingan bakat yang sihat.
“Saya tidak rasa Gegar Vaganza program yang memalukan artis.
“Ia satu-satu pertandingan yang sihat. Program itu hanya untuk kita mencabar diri. Kalau ada yang berani menyahut cabaran, mengapa tidak?,” katanya.
Ella ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran jenama pakaian RockQueen, di Muslimah Fest, Mid Valley pada Sabtu.
Bukan itu sahaja, penyanyi Sembilu itu juga berpendapat maesteo muzik, Datuk Ramli M.S layak duduk di kerusi Ketua Juri melihat kepada kepakaran dan personalitinya yang boleh menghiburkan penonton.
“Saya juga fikir tiada masalah jika pilih Ramli MS (sebagai ketua juri). Dia okay dan menghiburkan dalam ketegasan.
“Kalau mahu perbaiki format GV, boleh tambah baik untuk lebih berkualiti,” tambahnya.
Terdahulu, penyanyi Man Bai menegaskan enggan terlibat dengan program Gegar Vaganza walaupun pernah ditawarkan menjadi penyanyi jemputan untuk segmen duet.
Man Bai mendakwa program nyanyian itu seperti memalukan artis berpengalaman yang bertanding.
Dalam perkembangan lain, Ella melancarkan jenama pakaiannya secara rasmi iaitu RockQueen.
“Pakaian ini bertujuan untuk mencipta komuniti wanita yang berdaya maju, saling sokong dan menjadi teladan.
“Ia diinspirasikan daripada gaya urban dengan sentuhan sederhana, elegan minimalis tapi berani,” tambahnya. -UTUSAN