‘Saya tidak pernah jaja kisah sedih anak-anak’ - Utusan Malaysia

‘Saya tidak pernah jaja kisah sedih anak-anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Bella Astilah tegas menafikan dakwaan dia menggunakan kisah anak-anaknya, Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreana, 4, demi meraih simpati.

Kata Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, setiap kejayaan yang dikecapinya kini adalah dari hasil titik peluhnya sendiri dan tidak pernah sama sekali menggunakan anak-anak untuk mendapat sebarang tawaran.

“Setakat ini memang tiada. Saya gembira dengan keluarga. Kehidupan semakin baik, syukur. Saya bekerja keras dan anggap penat itu berbaloi sebab itu rezeki dan peluang saya juga.

“Alhamdulillah, rezeki anak-anak. Saya tidak pernah jaja cerita sedih anak-anak. Mungkin bila bercakap berkenaan anak-anak kadang kala kita rasa macam rindukan mereka.

“Saya sibuk dengan kerja, cari rezeki. Itulah fokus utama sekarang. Nak kata saya jual konten anak-anak pun tak juga sebab kadang-kadang mereka selalu dengan saya,” katanya.

Tidak melatah dengan dakwaan tersebut, Bella juga menganggap segala andaian yang dibuat oleh netizen sekadar pembakar semangat untuk dirinya.

“Semua tahu saya ada kerja seperti buat reviu produk. Kadang-kadang di belakang tabir anak-anak yang ambil. Mungkin itulah tercetusnya andaian ini.

“Tapi itu tanggapan masing-masing dan saya tidak salahkan mereka. Saya terima komen negatif dan positif sebagai pembakar semangat untuk buat yang terbaik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Bella juga sempat berkongsi perkembangan terkini anak-anaknya yang membesar dengan baik sepanjang di bawah jagaannya.

“Ayden kini lebih fokus sekolah. Jadual seharian dia sangat sibuk. Kadang-kadang kami hanya sempat berjumpa pada waktu malam sahaja sebab dia ada kelas tuisyen, aktiviti taekwondo dan bola sepak.

“Memang nampak dia suka menyanyi tapi buat masa ini saya tengok dia minat belajar. Alhamdulillah, dia dapat markah tertinggi dalam pendidikan Islam. Saya juga tidak mahu terlalu memaksa. Sebagai ibu, tengok anak minat belajar sesuatu yang menggembirakan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Bella telah melancarkan lagu terbaharunya bersama Nabila Razali yang berjudul, Cacaca yang kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya