Saya tidak meragui Jho Low - Najib

Saya tidak meragui Jho Low – Najib

MOHD. NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau tidak meragui penglibatan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho berhubung penerimaan sumbangan daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah.

Katanya, ini kerana beliau menyaksikan sendiri hubungan rapat Jho Low dengan Raja Abdullah.

“Saya tidak mempunyai sebab untuk meragui Jho Low yang mewakili saya kerana hubungan rapat beliau miliki dengan Raja Abdullah, di mana saya saksikan sendiri,” katanya ketika memberikan keterangan membela diri peringkat pemeriksaan utama oleh peguam belanya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Beliau merujuk keterangan berhubung pembukaan akaun AmIslamic bagi menerima sumbangan daripada Raja Abdullah yang merupakan Raja Arab Saudi.

Dalam pada itu, Najib berkata, sebelum lawatan ke Arab Saudi pada Januari 2010, Jho Low pernah memberitahunya bahawa Raja Abdullah amat prihatin dengan keupayaan Malaysia dalam mengamalkan kesederhanaan seperti dianjurkan Islam serta layanan adil bukan Islam. 

“Menurut Jho Low, Raja Abdullah akan menganugerahkan saya anugerah tertinggi Arab Saudi dikenali sebagai King Abdulaziz Order of Merit (Kelas Pertama). 

“Anugerah ini juga pernah telah dianugerahkan sebelum ini kepada Presiden Obama dan Presiden Putin. Perkara ini benar-benar berlaku semasa lawatan saya pada Januari 2010,” katanya.

Ketika ditanya Wan Azman Aiman mengapa beliau amat mempercayai Jho Low, Najib kemudian menjelaskan: “Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini dalam keterangan saya, Jho Low adalah seorang yang berpengaruh dan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga diraja Timur Tengah di Arab Saudi, Kuwait dan UAE.” 

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang memberi keterangan bela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion yang memasuki hari ketujuh di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya