Saya tak buang kawan namun berusaha dekati Allah - Kaka Azraff - Utusan Malaysia

Saya tak buang kawan namun berusaha dekati Allah – Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Kaka Azraff, tidak menolak, selepas perceraian dengan bekas suami, Adam Azriff, dia kini lebih berusaha untuk mendekati Allah selain mencuba memperbaiki kelemahan diri.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 35, dia juga tidak pernah membuang kawan-kawan sedia ada namun mengakui kini mencuba untuk menjaga hubungan dengan orang-orang baik yang turut berusaha ke jalan Allah.

“Apa yang telah terjadi dalam hidup saya, Allah berikan saya kelapangan hati. Ia adalah situasi yang tidak pernah kita jangkakan.

“Apa yang saya buat ialah, dekatkan diri dengan Allah termasuk dekatkan diri dengan kawan-kawan yang betul selepas apa yang terjadi dalam hidup saya. Saya cuba dekatkan diri dengan orang-orang yang selalu nasihatkan saya benda-benda yang baik dan yang membuatkan saya mendekati Allah.

“Saya tak buang kawan-kawan sebelum ini. Cuma, memang perlahan-lahan semuanya pergi dengan sendirinya. Kita pun tak adalah membenci atau menghakimi mereka kerana bagi saya, kita tak boleh menilai orang.

“Kita sebenarnya yang kena menilai diri sendiri, tengok diri sendiri,” katanya.

Tambah penyanyi lagu Bukan Hal Aku ini, dia juga tidak menyalahkan bekas suaminya selepas perceraian berlaku kerana sedar bahawa dirinya juga mempunyai kekurangan.

“Samalah juga dengan bekas pasangan saya, mungkin sebelum ini dalam perkahwinan itu saya selalu menilai dia sebagai seorang suami. Saya tengok apa yang dia patut buat dan apa hak saya.

“Tapi selepas bercerai, sebenarnya saya pun ada salah, tetapi saya baru sedar selepas perceraian berlaku dengan izin Allah.

“Perkara itu mendewasakan saya dan menjadikan diri ini sedar bahawa Allah itu mahu kita mencintai Dia dahulu, kemudian barulah kita boleh mencintai manusia lain,” katanya.

Kaka berkongsi luahan ini semasa mengikuti sesi usrah yang dikendalikan oleh Betty Rahmat di kediamannya baru-baru ini.

Sesi tersebut juga disiarkan secara langsung menerusi akaun Tik Tok milik Betty.

Selain itu, jelas Kaka, dia juga sentiasa mahu bersangka baik dengan Allah dan meletakkan kepercayaan penuh bahawa setiap yang terjadi dalam hidupnya berlaku atas izin dari-Nya.

“Allah itu Maha Baik. Dia tahu apa yang kita minta dan hajatkan. Dia akan berikan tetapi dalam bentuk yang kita tak jangkakan.

“Apa yang saya belajar, apa yang terjadi dalam hidup saya, mungkin sebelum ini saya terlampau ikut emosi dan banyak membiarkan emosi yang kawal diri saya.

“Tetapi saya juga percaya bahawa segala yang terjadi adalah atas izin-Nya. Mungkin ketika itu, itulah jalannya,”katanya.

Oktober lalu, berita mengenai rumah tangga
Kaka didakwa bercerai mula tersebar di media sosial.

Difahamkan, mereka melakukan lafaz cerai berkenaan secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor.

Untuk rekod, Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018.

Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 5, dan Aryan, 3, dan Atta Adam yang kini berusia 15 bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya