KUALA LUMPUR: Pelakon, Chacha Maembong, mengakui terkejut dengan perceraian yang berlaku membabitkan bekas suami isteri yang juga rakan industrinya, Jay Iswazir dan Azzahra Ahmad.
Pelakon berusia 28 tahun itu memaklumkan, dia cukup mengenali Jay dan Azzahra dan tidak menyangka rumah tangga mereka berakhir dengan perceraian.
“Saya terkejut dengan perceraian mereka. Tapi sebagai orang luar, Saya tak berani komen tentang hal rumah tangga orang lain.
“Saya baik dan kenal Jay dan Azzahra, jadi saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada perkahwinan mereka.
“Apa yang diperkatakan adalah hal peribadi mereka yang sedikit sebanyak, tersebar di Instagram. Selebihnya kita tak tahu,” katanya yang ditemui pada majlis perasmian trailer, poster dan runut bunyi filem Limbungan Tragedi Hitam 1975, semalam.
Jay dan Azzahra pada November lepas disahkan bercerai selepas dua tahun bersama.
Jay atau nama penuhnya Ahmad Iswazir Ismail yang ditemui Utusan Malaysia memaklumkan perceraian itu diputuskan kerana tiada kesefahaman selain untuk kebahagiaan masing-masing.
Azzahra bagaimanapun baru-baru ini mengejutkan ramai pihak apabila mendakwa dia diawal perkahwinan mereka dikasari selain didesak bekas suaminya itu untuk menggugurkan kandungan.
Cha Cha, yang mengenali dan pernah bekerjasama dengan bekas pasangan suami isteri tersebut dalam pada itu menyifatkan Jay dan Azzahra individu yang disenangi.
“Saya agak rapat dengan Azzahra dan kami lama berkawan sebelum dia berkahwin dengan Jay lagi. Pada saya dia baik dan rendah diri.
“Saya dan Jay pula digandingkan dalam drama Lara Kasih. Dia juga seorang yang sangat disenangi, hormat orang lain dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah di set penggambaran.
“Bahkan, Jay juga seorang yang profesional, tidak sesuka hati sentuh dan telah meminta izin sebelum berlakon menyerang saya dalam drama berkenaan.
“Apa pun, saya tak boleh menyebelahi mana-mana pihak kerana saya kenal mereka berdua,” kongsinya lagi.