Tampil dengan persembahan bertenaga pada malam konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritara Hatiku pada hujung November lalu, nyanyian Azharina Azhar telah berjaya memukau jiwa galau peminat setianya.
Malah, kemunculannya di pentas yang menggabungkan penyanyi-penyanyi wanita kelahiran negeri di bawah bayu itu sekali gus membuatkan peminatnya menantikan konsert solo pemilik lagu Elergi Sepi itu.
Meskipun tampak semangat di konsert itu, perkembangan terkini kesihatan penyanyi kelahiran Sabah itu turut menjadi tanda tanya ramai pihak selepas dikhabarkan menghidap kanser pada Jun lalu. Azharina, jawablah!
J: Selepas kemunculan di konsert Sumandak Starz tempoh hari, ada tak perancangan untuk anjur konsert sendiri?
Ya, memang ada dan dalam perancangan untuk anjurkan sebuah konsert solo pada tahun 2025. Tetapi, saya tidak boleh dedahkan dengan lebih terperinci kerana proses perbincangan tersebut masih berjalan.
Sebelum ini, saya pernah buat di Melbourne, Kuala Lumpur dan Indonesia. Tetapi, saya belum pernah buat di negeri kelahiran saya, Kota Kinabalu. Jadi, doakan saya mudah-mudahan saya berkesempatan dan impian saya tercapai untuk buat konsert solo di Sabah.
J: Sebagai penyanyi senior, adakah Azharina berpuas hati dengan konsert malam itu selepas berganding dengan penyanyi muda yang tidak kurang hebatnya?
Alhamdulillah, sebagai penyanyi paling senior pada malam itu saya sangat berpuas hati. Saya juga bersyukur kerana diberi peluang untuk sepentas dengan rakan artis yang muda. Saya suka berbezaan usia itu.
Saya percaya kalau tiada yang lama, tiada juga yang baharu. Saya anggap itu satu penghormatan besar buat saya dapat sepentas dengan mereka yang mungkin usianya seperti adik atau anak.
J: Sebelum ini Azharina pernah mendedahkan menghidapi kanser. Jika tidak keberatan kanser apa yang Azharina hidap dan sudah stage berapa?
Seperti yang diketahui, saya memang menghidap kanser serviks. Alhamdulillah, saya masih di peringkat awal iaitu tahap dua selepas menjalani rawatan. Sebelum ini, doktor pernah sarankan saya untuk berhenti menyanyi ketika menyertai Gegar Vaganza. Tetapi saya tidak mahu mengalah dan tetap teruskan kerana saya mahu orang anggap saya sebagai seorang pejuang.
Saya bersyukur kerana saya percaya tiada apa di dunia ini yang mustahil jika kita tukar pemikiran dan gaya hidup. Kalau kita gembira, Insya-Allah sakit itu akan hilang. Saya tidak fokus pada penyakit saya. Saya hanya mahu fokus pada kesihatan, keluarga dan kerjaya.
Sekarang, saya masih dalam pengawasan doktor dan perlu makan ubat seumur hidup. Kalau nak kata saya sudah pulih sepenuhnya, tidak. Alhamdulillah, saya menjalani rawatan seperti biasa. Doakan saya bebas kanser itu sebab saya percaya dengan perkara yang positif.
J: Macam mana pula perkembangan kesihatan Azharina setakat ini memandangkan mempunyai masalah kesihatan yang lain?
Jika mahu bandingkan saya dengan orang lain yang menghidap kanser, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada doktor yang merawat saya dengan baik. Sejujurnya, saya memang bergantung dengan ubat. Tetapi perkembangan kesihatan saya sekarang jauh lebih baik daripada tahun lalu.
Saya juga tidak mahu terlalu fikirkan perkara ini kerana boleh menjejaskan kesihatan saya. Saya juga selalu berjaga-jaga dengan setiap perkara dan masih dalam kawalan. Alhamdulillah.
J: Sepanjang menghadapi masalah kesihatan ini, pernah tak Azharina mengalami fasa putus asa untuk berjuang?
Tipu kalau cakap saya tidak pernah rasa nak putus asa. Benda itu sentiasa ada lebih-lebih lagi setiap kali pergi ke hospital dan klinik seorang diri selepas buat rawatan. Saya tidak mahu semua orang di sekeliling saya tahu terutamanya keluarga dan anak-anak.
Tapi, itulah lumrah kehidupan. Orang tidak akan terima saya sakit dan sedang menunggu ajal. Saya kena bangkit dan berusaha sebab ramai yang bergantung dengan saya. Banyak juga tanggungan saya, kalau saya jatuh mungkin mereka pun akan jatuh.
Jadi, sekiranya perasaan itu wujud, saya akan lihat semula bahawa ada orang yang lebih kurang bernasib baik berbanding saya. Itulah yang buatkan saya terus bangun semula.