KUALA LUMPUR: Pelakon, Asrulfaizal Kamaruzaman tidak meletakkan sebarang harapan untuk merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-33 yang akan diadakan pada Sabtu ini.
Kata pelakon yang tersenarai dalam kategori itu menerusi filem Duan Nago Bogho ini, dia enggan kecewa di kemudian hari sekiranya meletakkan harapan untuk menang bagi kategori tersebut.
“Dalam apa-apa pertandingan sekalipun, saya sering meletakkan diri di posisi paling belakang kerana tidak mahu dikecewakan sekiranya tidak menang.
“Ibarat menonton perlawanan bola sepak, sebaik sahaja melangkah ke dalam stadium, saya sudah tetapkan minda bahawa saya menyokong pasukan yang kalah. Sekiranya pasukan itu menang, saya gembira. Jika tidak, sekurang-kurangnya saya sedia terima kekalahan.
“Begitu juga halnya dengan pencalonan FFM33 bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik. Pelakon lain yang tercalon juga hebat. Saya cukup bersyukur kerana lolos untuk lima pencalonan terbaik.
“Saya anggap saya berjaya hidup sebagai pelakon sambilan meskipun ditakdirkan tidak menang kategori itu pada FFM33 nanti,” kongsinya.
Asrulfaizal berkata demikian pada program tayangan filem dan apresiasi (Duan Nago Bogho) sempena Festival Filem Malaysia ke-33 di GSC Mid Valley, semalam.
Pelakon berusia 43 tahun ini bersaing dengan empat pelakon lain termasuk Beto Kusyairi (Imaginur), Chew Kin Wah (Rain Town), Shaheizy Sam (Polis EVO 3) dan Zul Ariffin (Sheriff: Narko Integriti).
Asrulfaizal dalam pada itu berharap filem Duan Nago Bogho yang tercalon dalam tujuh kategori sempena FFM33 tidak pulang tangan kosong pada penganjuran anugerah berprestij itu nanti.
“Jika Duan Nago Bogho menang, Insya-Allah ia dipandang dan menjadi ikutan buat penerbit, penulis skrip dan pengarah yang lain untuk mengangkat seni tradisi dalam filem.
“Negara kita kaya dengan seni budaya, bukan Mak Yong sahaja. Kita juga ada Mek Mulung di Kedah, Randai Malaysia dan banyak lagi,” kongsinya. – UTUSAN