‘Saya percaya kerjaya lakonan ada tarikh luput’ - Utusan Malaysia

‘Saya percaya kerjaya lakonan ada tarikh luput’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukanlah mahu meramal masa depan, tapi pelakon, Beto Kusyairy sudah dapat mengagak 20 tahun akan datang mungkin jersi pelakon yang disarungnya dalam gelanggang sinema Malaysia perlu ditanggalkan.

Pada usia 44 tahun, Beto atau Nur Kusyairy Zakuan Osman, bagaimanapun menanam azam mahu beraksi sepenuhnya dan memastikan api semangatnya sebagai pelakon masih membara. Baginya, selagi masih diperlukan sebagai pelakon, selagi itulah tulang empat keratnya akan kuat dibanting demi menjayakan sesebuah naskhah.

Ditanya adakah Beto akan beralih peranan duduk di kerusi sutradara, Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 sempat ketawa.

“Keinginan untuk menjadi pengarah memang ada tapi buat masa sekarang saya lebih seronok sebagai pelakon.

“Ya, saya mungkin faham mengenai teknikal dan lakonan, tapi seorang pengarah perlu ada kemahiran untuk memimpin. Itu yang saya tiada.

“Pengarah yang baik perlu ada kredibiliti sebagai pemimpin, itulah yang saya masih belajar dan teroka,” jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sri Pentas Bandar Utama, baru-baru ini.

Beto memulakan kerjayanya pada 1998 sebagai kru belakang tabir sebelum tabir membawanya perlahan-lahan ke hadapan layar pada tahun 2003 menerusi rancangan kanak-kanak, Along dan beberapa drama arahan Erma Fatima.

Seandainya kerja sebagai lakonannya berakhir, Beto hanya mahu menghabiskan sisa waktu bersama isteri, Tisha Shahar dengan sebuah rumah tepi laut.

“Mungkin satu masa nanti saya akan berhenti. Dalam 15 hingga 20 tahun lagi saya mahu berehat. Tapi saya tidak tahu, kerana semuanya ketentuan Dia.

“Kalau tidak lagi berlakon, saya sendiri buntu mahu lakukan apa. Maklumlah, saya tidak pandai berniaga atau keluarkan produk.

“Jujurnya saya tidak tahu tapi mungkin kumpul duit banyak-banyak bina rumah di tepi pantai dan menikmati masa bersama isteri,” jelasnya.

Beto keluarkan penonton daripada kemurungan
Sejak ditayangkan minggu lalu, filem arahan Adrian Teh, Reversi, mula mendaki populariti dan menjadi bualan wargamaya. Selepas kejayaan Imaginur sebagai Filem Terbaik tahun lalu, Beto dikatakan berjaya menawarkan persembahan yang lebih baik menerusi watak Akid dalam Reversi.

Jenama Beto semakin kukuh sehingga ada yang merasakan filem lakonan anak kelahiran Kuala Lumpur itu sebagai naskhah wajib tengok di panggung tahun ini.

“Saya berbesar hati jika ada yang beranggapan begitu. Sebagai pelakon saya sudah lakukan yang terbaik, jadi terpulang kepada penerimaan penonton. Tapi semestinya, saya mengharapkan penerimaan yang baik.

“Ada satu komen saya terima, seorang penonton sedang dalam fasa kemurungan dan tidak boleh melupakan masa lalu setelah kehilangan seseorang.

“Tapi setelah menonton filem ini, persepsinya mula berubah dan reda menerima keadaan. Perkara seperti ini sudah cukup buat saya gembira,” katanya.

Menurut Beto, setelah dia mula menaruh minat terhadap bidang lakonan, populariti dan anugerah bukanlah sebuah keutamaan. Baginya, tiada kejayaan yang lebih besar selain daripada melihat lakonannya berjaya menyentuh hati dan memberi impak kepada penonton.

“Saya mahu buat sehabis baik supaya penonton dapat rasa apa yang saya rasa. Jika lakonan saya membuat mereka terkesan, itu sudah cukup buat saya gembira.

“Saya suka dengan apa yang saya lakukan dan tidak pernah pasang impian untuk dapat anugerah terbaik atau popular. Saya bukan orang begitu. Saya masih Beto yang sama seperti dahulu dan insya Allah begitu juga untuk masa akan datang,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya