Saya mohon maaf, akan bayar kompaun - Mohamad

Saya mohon maaf, akan bayar kompaun – Mohamad

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Saya akan bayar (kompaun), harap tak lah banyak sangat,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Itu reaksi Mohamad susulan isu tular memaparkan dirinya merokok di kawasan larangan bersama sekumpulan individu di sebuah kedai makan di Rantau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurutnya, beliau mengesahkan telah menerima notis kesalahan itu yang diserahkan pegawai kesihatan Seremban pagi tadi.

“Saya tak dapat balik ke Seremban jadi, pegawai itu datang menemui saya di sini (Putrajaya) sebab esok saya nak ke Bangkok, Thailand.

“Saya menerima notis kompaun tersebut dan notis kompaun ini akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara ditetapkan jumlah kompaun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Bantuan Kemanusiaan Malaysia Kepada Palestin di Bawah Inisiatif Kerajaan Hashimiah Jordan, di sini hari ini.

Katanya, beliau juga memohon maaf secara tulus kepada semua jika isu menjadi kerisauan awam.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, pegawai diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban diarahkan untuk berjumpa Mohamad Hasan bagi menyerahkan notis kesalahan itu.

Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini juga menegaskan tiada sesiapa yang terlepas daripada undang-undang Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) jika merokok dalam restoran.

“Setelah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awan, 2024) berkuat kuasa pada 1 Oktober yang lalu, saya berpegang kepada prinsip bahawa ‘Tiada siapa yg boleh mengatasi undang-undang,” balas Dzulkefly di X.

Dzulkefly mengulas gambar yang dimuat naik di akaun @MsianInciter memaparkan individu dipercayai Mohamad sedang memegang rokok bersama sekumpulan lelaki.

Menurut akaun X berkenaan Timbalan Presiden UMNO itu didakwa merokok di sebuah kedai makan ketika pulang ke kawasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN