KUALA LUMPUR: “Saya yakin dia kuat.”
Demikian maklum balas isteri pelakon Lan Zailan, Ruby Sara Omar, 51, mengenai keadaan suaminya selepas diberitakan mengenai penyakit kanser pankreas tahap empat yang dihidapinya.
Kata Ruby, meskipun berat menerima berita tersebut, dia perlu kuat demi kesembuhan suaminya.
“Siapa tidak terkejut, apabila dimaklumkan hidap kanser pankreas tahap empat dan dijangka hidup tiga bulan sahaja.
“Saya kena kuat untuk dia, ikhtihar, sama-sama melawan penyakit dan serah semuanya kepada Allah.
“Memang sedih, tapi saya tak mahu dia down. Jadi saya kawal perasaan sedih,” katanya yang ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), baru-baru ini.
Terdahulu, pelakon berusia 66 tahun itu disahkan menghidap kanser pankreas tahap empat.
Perkara itu disahkan selepas pemeriksaan menyeluruh bagi mengenal pasti punca batuk berpanjangan yang dialaminya sejak Oktober lepas.
Kata Ruby, suaminya reda dengan ketentuan Allah dan memilih untuk menjalani rawatan tradisional berbanding kemoterapi.
“Selama 66 tahun hidup, dia tidak pernah alami penyakit kronik. Demam pula jarang dialaminya.
“Dia jaga pemakanan, aktif bersukan dan jarang tak cukup rehat.
“Sebab itu kami terkejut dia hidap kanser sebab memang tak ada gejala ketara melainkan batuk berpanjangan sejak Oktober lepas.
“Apa pun, kami reda dan kuat menerima ujian ini, sama-sama ikhtiar mencari kesembuhan,” kongsinya.