KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) adalah satu tindakan yang betul dan dilakukan pada masa yang tepat.
Menteri Besar Terengganu itu memuat naik satu petikan dari pemain bola keranjang terkenal, Kareem Abdul-Jabbar di akaun Facebook rasminya hari ini.
“Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah,” tulisnya dipercayai merujuk kepada peletakan jawatan itu.
Melalui ruangan komen pula, ramai yang menyokong tindakan Ahmad Samsuri itu dan percaya ia diambil setelah menimbang pelbagai faktor situasi politik semasa. – UTUSAN