Saya bukannya gila - Najib

Saya bukannya gila – Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekiranya benar beliau ingin menipu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan begitu teruja untuk mendapatkan bukti dari luar negara.

“(Kerja) Gila untuk saya mendapatkan bukti daripada mahkamah (luar negara) sekiranya saya sama-sama berkomplot untuk menyeleweng (dana) 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Adalah lebih logik untuk saya menyembunyikan bukti-bukti ini sekiranya benar saya terlibat, saya sepatutnya menyorokkannya. Tetapi saya mahukan bukti-bukti ini dikemukakan di mahkamah kerana saya mahukan kebenaran.

“Insya-Allah sekiranya bukti-bukti ini dikemukakan, saya yakin saya akan dibebaskan, Insya-Allah,” kata Najib.

Najib berkata demikian selepas ditanya oleh salah seorang peguam belanya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhubung tindakannya memohon bukti daripada dua mahkamah di New York melalui permohonan sepina terhadap Pengarah Urusan Goldman Sachs, Tim Leissner dan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Leissner menjadi saksi utama dalam perbicaraan jenayah mengenai skandal 1MDB membabitkan Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn.

Melalui sepina, Najib memohon untuk mendapatkan keterangan dan dokumen yang berkaitan dengan pembelaannya.

Sepina itu memerlukan Leissner untuk menyediakan bukti komunikasi antara dirinya, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low atau individu lain yang terlibat dalam skandal 1MDB.

Najib juga memohon rekod mengenai usaha Leissner untuk mengesahkan sama ada beliau membenarkan Jho Low atau pihak lain bertindak bagi pihaknya.

Najib kini sedang memberi keterangan bela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB yang memasuki hari keenam di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung petang ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya