SABAK BERNAM: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memberi kenyataan dalam tempoh terdekat mengenai spekulasi meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, beliau belum membuat sebarang komen mengenai isu itu termasuk spekulasi menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
“Saya belum membuat apa-apa komen mengenai politik melibatkan diri saya.
“Pada masa sama, kita sudah dengar semalam (Sabtu) yang Menteri Besar (Amirudin) telah membuat kenyataan beliau akan menghabiskan penggal ini,” katanya pada program Larian Kebajikan dan Inklusiviti Teras Inspirasi (KITA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sungai Besar di sini, hari ini.
Perasmian program itu disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di hadapan 2,500 peserta larian tersebut.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Ditanya sama ada akan mengumumkan perkara itu pada Kongres Khas PKR di Shah Alam, kata Tengku Zafrul, belia tidak mengetahui mengenai kongres tersebut.
“(Saya) tidak tahu bila kongres (PKR) dan kita tunggulah (kenyataan) masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan beliau dikaitkan untuk menerajui Selangor menggantikan Amirudin yang akan bertukar ke Kabinet.
Rundingan didakwa sedang berjalan mengenai kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR dengan keputusan dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Presiden UMMO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun memaklumkam beliau tidak dapat mengesahkan berhubung dakwaan berkenaan dan tidak menerima sebarang permohonan daripada Tengku Zafrul untuk meninggalkan parti itu.
Selain itu, Amirudin menegaskan akan terus kekal menerajui pentadbiran di Selangor sehingga akhir penggal.