SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin secara terbuka menyatakan yang dirinya adalah ‘pemain dalam pasukan’ yang dikendalikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Penegasan itu sekali gus menepis dakwaan terdapat kem-kem dalaman parti membabitkan pemimpin tertentu sehingga dikatakan timbul keraguan di peringkat akar umbi mengenai ‘perpecahan’ tersebut.
“Saya ini dulu masa muda pemain ragbi untuk universiti dan negeri. Ragbi ini sukan yang bukan sahaja menuntut kepada kecerdasan fizikal dan mental, tetapi penuh dengan strategi dan taktikal berpasukan. Dalam sukan ragbi, semua pemain adalah penting.
“Siapa yang bertindak untuk props dan scrum, siapa yang patut bermain sebagai hooker, locks, flankers dan wings. Saya dulu bermain posisi full back, No. 15 dan ‘rugby is a harsh sport played by gentleman’ iaitu sukan lasak yangdimainkan lelaki budiman.
“Jadi saya nak maklumkan kepada Tan Sri, i am team player (saya adalah pemain dalam pasukan),” katanya pada penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di IDCC Shah Alam di sini, hari ini.
Hamzah dalam masa yang semua turut mengingatkan akar umbi seluruhnya agar bersatu dalam semua saf kepimpinan baik di peringkat pusat, negeri, bahagian, cawangan serta seluruh akar umbi adalah penting.
“Tiada seorang pun yang terkecuali, semuanya menjadi tali-temali yang menyumbang kepada kekuatan parti,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah turut berkata, barisan kepimpinan baharu yang dipilih kali ini merupakan ‘dream team’ (pasukan impian) dalam menjadikan Bersatu sebagai sebuah parti yang inklusif, sambil mengingatkan kepada sayap pemuda, Armada untuk tidak menggunakan pendekatan secara konfrontasi terhadap masyarakat.
“Kita berhujah dengan idea, bukan mengaibkan hingga sanggup membunuh karakter lawan, kita berpolitik secara persuasive dan unifier atau memujuk dan mempersatu kerana Bersatu percaya kepada keharmonian yang melengkapi antara satu sama lain,” jelasnya lagi. – UTUSAN