Sawah tenggelam, 1,000 pesawah rugi RM5 juta

Sawah tenggelam, 1,000 pesawah rugi RM5 juta

DUA pesawah hanya mampu termenung melihat keadaan sawah ditenggelami air di Kampung Bakong, Arau, Perlis.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kira-kira 1,000 pesawah membabitkan 15 buah kampung di sini terjejas dan terpaksa menanggung kerugian hampir RM5 juta berikutan sawah padi ditenggelami air.

Ia berpunca dari limpahan terusan Arau serta masalah gelung air dari projek jalan utama di kawasan Kubang Gajah-Banat yang menghalang laluan aliran air.

Masalah limpahan air itu membabitkan pesawah dari Kampung Banat, Alor Banat, Bakong, Kampung Teluk, Behor Mempelam, Kampung Gobek, Pida 2 Sekerat dan Telaga Haji Latif dengan keluasan tanaman kira-kira 300 hektar.

Pada masa sama, pesawah dari Kampung Bakong, Kubang Gajah, Jejawi, Alor Banat dan Pulau Lincai pula berdepan masalah gelung air itu sehingga menyebabkan sawah mereka di kawasan seluas lebih 300 hektar tersebut tenggelam.

Hanya dalam tempoh dua bulan, sudah tiga kali mereka berdepan masalah tersebut dan jika air terus bertakung tanaman yang baru diusahakan sejak sebulan lalu berisiko mengalami kerosakan.
Wakil peladang Kampung Banat, Shahidan Ismail berkata, kawasan sawah di Kampung Banat di sini antara paling teruk terkesan berikutan limpahan kali ketiga ini.

Katanya, sebelum ini, sudah dua kali sawah di kawasan berkenaan ditenggelami air dan ia memakan masa untuk surut, malah baru-baru ini ada pesawah mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan beg pasir bagi mengelak limpahan air dari terusan berkenaan masuk ke sawah.

“Kita harap pihak berwajib mengambil tindakan dengan menyediakan pam bagi menyedut air keluar dan tinggikan tebing di kawasan terusan Arau itu.

“Kalau tanaman rosak kali ini, kita sudah tidak mampu tanam semula dan selepas ini berdepan musim kemarau pula. Dianggarkan kira-kira 500 pesawah di kawasan terlibat mengalami kerugian dianggarkan RM1.2 juta,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Turut meluahkan kebimbangan, pesawah dari Kampung Bakong, Nazari Basri berkata, pesawah di kawasan ini pula berdepan dengan masalah gelung air dari projek jalan utama Kubang Gajah-Banat yang menghalang laluan aliran air sehingga menyebabkan sawah sering kali tenggelam.

“Masalah berkenaan telah menjejaskan lebih 500 pesawah dari beberapa kampung di sini dengan kerugian dianggarkan mencecah RM3 juta. Jumlah tersebut melibatkan kerugian pesawah di kawasan ini sahaja,” katanya.

Sementara itu, kerja-kerja menyelenggara dan membuang gelung air berkenaan sudah mula dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya