KANGAR: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera membantu pesawah yang terjejas dengan masalah sawah tenggelam berikutan limpahan air dari terusan Arau.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, pihaknya telah meninjau beberapa kawasan yang ditenggelami air itu dan mengenalpasti permasalahan yang dibangkitkan oleh pesawah terlibat.
Katanya, bagi penyelesaian segera, beliau telah mengarahkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk membantu meninjau dan melihat keperluan bantuan pam bergerak kepada pesawah yang terjejas itu.
“MADA dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mempunyai hampir 30 buah pam bergerak dan kita akan tempatkannya di lokasi bersesuaian sebagai langkah segera dalam membantu menangani permasalahan ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tambah Razali, pihaknya juga telah memanggil agensi berkaitan bagi melihat aduan disuarakan petani terlibat bersama peruntukan yang boleh disalurkan selepas ini.
Katanya, langkah bagi meninggikan tebing di terusan Arau itu juga memerlukan penglibatan beberapa agensi antaranya JPS, Jabatan Pertanian dan beberapa lagi.
“Tempat-tempat yang dibangkitkan permasalahan itu kita akan bantu sedaya upaya secara berperingkat dan juga memerlukan kerjasama kementerian,” katanya.
Dalam pada itu, Razali berkata, berdasarkan semakan awal, dianggarkan 4,300 hektar kawasan tanaman padi di dalam dan luar kawasan MADA di negeri ini ditenggelami air.
“Jumlah peratusan sebenar hasil tanaman yang merosot itu hanya akan diketahui selepas bancian penuh selesai dilaksanakan nanti.
“Bila kering nanti mungkin ada tanaman yang pulih dan ini hanyalah secara rambang sahaja namun laporan selengkapnya akan diperolehi apabila kita mendapat bancian daripada petani terlibat,” katanya. – UTUSAN