KUALA LUMPUR: Gitaris kumpulan Projector Band, Angah Razif kesal ada pihak yang cuba mencetuskan provokasi apabila mempersoalkan keputusannya berkarya dengan Satu Band.
Menurut Angah atau Razif Zainuddin, 32, individu tersebut mendakwa Satu Band diwujudkan kerana kecewa Projector Band gagal membolosi Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun lalu.
“Saya ini kalau mahu lakukan sesuatu perkara mesti akan ada pihak yang kurang senang. Ketika kami sedang membuat persiapan lagu baru, tiba-tiba muncul satu komen cuba melakukan provokasi.
“Individu itu menurunkan komen menggunakan akaun sendiri mempersoalkan kewujudan Satu Band. Sedangkan kalau orang itu mengikuti perkembangan band ini, dia akan tahu Satu Band adalah band pertama saya sebelu memasuki Projector Band,” kata Angah.
Menurut Angah, fitnah kononnya Satu Band wujud kerana kecewa lagu Sinar Pelagi gagal membolosi Anugerah Juara Lagu (AJL), boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan ahli Projector Band.
“Saya risau dengan komen tu akan membuatkan ahli Projector Band akan terkecil hati jadi saya tak suka dan alasan wujudkan Satu Band ni bukan sebab kecewa apabila lagu Sinar Pelangi tidak dapat masuk Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Ya memang sedikit kecewa tapi mana ada sampai buat keputusan wujudkan kumpulan baru, saya masih lagi dengan Projector Band dan Satu Band adalah kumpulan lama saya,” kata Angah kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Enggan memanjangkan hal ini, gitaris tersebut meminta individu tersebut memadam hantaran berkenaan.
“Saya minta padam saja komen itu dan tidak mahu keruhkan lagi keadaan dengan kenyataan tidak benar.
“Yang tak bagusnya kalau viral, ia jadi akan jadi fitnah sebab tu saya ada buat video untuk meminta padamkan komen dan video tersebut sebelum ramai yang komen,” luahnya.
Selain masih aktif dengan Projector Band, Angah menerusi Satu Band melancarkan sebuah lagu terbaru bertajuk Kehilangan.
Dalam perkembangan lain, Angah menubuhkan syarikat rakamannya sendiri iaitu AR Muzik pada 2022 dan terdapat 10 orang artıs rakaman yang sudah bernaung dibawah syarikatnya sejak 2 tahun penubuhannya itu. -UTUSAN