KOTA KINABALU: Sasaran 30,000 orang menyertai Himpunan Aman Bangkit Sabahan tidak tercapai susulan arahan PDRM untuk tidak membenarkan sebarang perhimpunan diadakan hari ini.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, peserta yang menghadiri himpunan hari ini dihadkan kepada 1,500 orang sahaja berbanding sasaran asal.
Beliau berkata, permohonan permit untuk menganjurkan perhimpunan aman tersebut tidak diterima. Begitu juga dengan permit perhimpunan aman membabitkan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Kami juga ada membuat tuntutan. Mereka (mahasiswa UMS) ada buat tuntutan, kami pun ada buat tuntutan. Kami minta supaya kerajaan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan apa-apa sahaja maklumat yang diperlukan terhadap lapan wakil rakyat.
“Sebelum ini, Ketua Menteri telah memberi komitmen bahawa kerajaan tidak menyembunyikan apa-apa maklumat. Lapan wakil rakyat yang didakwa terlibat telah pun memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya semasa Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan di pekarangan Anjung Selera Likas, hari ini.
Zulkarnain berkata, dia antara aktivis yang terlibat membuat laporan kepada SPRM bahawa pemberi maklumat enggan menyerahkan maklumat diperlukan kepada SPRM.
Kata beliau, isu rasuah perlu ditangani dengan baik dan adil. Jadi, himpunan ini akan terus bergerak melawan himpunan mahasiswa berkenaan.
Dalam pada itu, kawalan ketat PDRM di kesemua laluan masuk ke Menara Kinabalu berjaya mengelakkan pertembungan dua kumpulan perhimpunan aman yang dianjurkan hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi berkata, keadaan terkawal dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Beliau berkata, pasukan PDRM akan terus mengawal keadaan sehingga kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyertai Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah beredar.
Biarpun permit kedua-dua perhimpunan aman telah ditolak namun, tiada tindakan diambil terhadap mahasiswa UMS yang terlibat dalam Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah setakat ini.