KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mengambil keputusan untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) secara rasmi berkuat kuasa bulan lalu.
Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada 23 November lalu.
Beliau berkata, keputusan menarik diri daripada PN itu dibuat susulan keputusan PN yang ingin bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Keputusan PN itu bertentangan dengan dasar SAPP yang selama ini menetapkan pendirian bahawa 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hanya akan ditandingi oleh parti-parti tempatan.
“Pendirian SAPP ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan autonomi Sabah. Kami tidak boleh berkompromi dengan komitmen kami untuk memastikan bahawa PRN harus kekal di bawah bidang kuasa parti-parti tempatan dan bebas daripada campur tangan parti-parti berpusat di Semenanjung.
“Maka, desakan PN untuk meletakkan calon daripada parti Malaya pada PRN17 secara langsung sangat bertentangan dengan prinsip asas ini,” katanya.
Teck Lee berkata, SAPP juga mahu agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di kesemua 73 kerusi DUN pada PRN17. Cadangan itu antara usul yang dikemukakan kepada Majlis Tertinggi GRS untuk diberi pertimbangan.
Keputusan itu penting dalam usaha menegakkan hak Sabah di bawah MA63 dan mencerminkan aspirasi rakyat Sabah yang kuat untuk sebuah kerajaan yang mengamalkan federalisme sejati.
Kata beliau, Majlis Tertinggi GRS harus segera menyelesaikan sebarang ketidakpastian mengenai kerjasama GRS dan Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, hal-hal ini mesti diperjelaskan sebelum memasuki tahun baharu agar rakyat Sabah boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat sebelum PRN17 yang dijangka diadakan dalam tempoh 10 bulan daripada sekarang. – UTUSAN