KUALA NERUS: Pemain Terengganu FC (TFC) diingatkan tidak memandang mudah perlawanan suku akhir kedua menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) walaupun mempunyai kelebihan dua gol di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus di sini, malam ini.
Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berkata, skuad NSFC mampu melakukan kejutan di gelanggang lawan sekiranya pemain TFC merasa selesa dengan bekalan jaringan itu.
Katanya, perlawanan tersebut penting untuk memenuhi hasrat peminat yang ingin melihat skuad Penyu mampu melayakan diri ke peringkat seterusnya.
“Kita bernasib baik dapat dua gol di tempat lawan dan saya mengharapkan pemain bersedia sepenuhnya untuk perlawanan kedua suku akhir ini,” katanya ditemui di sini, semalam.
Selain itu, Badrul Afzan bemenggesa jentera serangan TFC supaya lebih tajam dalam melakukan penyudah ketika berdepan skuad Jang yang memiliki barisan pemain baik dan semangat juang tinggi.
“Saya mahu kedua-dua penyerang (Nelson Bonilla) dan Akinade (Ismaheel Akinade) lebih tajam di hadapan pintu gol. Kita biasanya dapat cipta peluang tetapi banyak yang tidak dapat disempurnakan.
“Untuk perlawanan kedua tiada rombakan, saya masih kekalkan kesebelasan utama ketika perlawanan pertama.
“Pemain juga tiada yang cedera kecuali Suhaimi (Suhaimi Husin) yang mengalami kecederaan Ligamen Kolateral Medial (MCL),” jelasnya.
Pada masa sama, Badrul Afzan berkata, beliau mahu pintu gol TFC dapat dikawal rapi untuk memastikan tidak mudah dibolosi lawan.
“Saya harap Abe (Muhammad Rahadiazli Rahalim) dapat menjaga gawang dengan baik dan fokus. Kita tak mahu lepaskan gol walaupun dah ada bekalan dua jaringan,” ujarnya.-UTUSAN