“SAYA bermula sebagai pempengaruh TikTok pada usia sangat muda, banyak yang saya belajar daripada perjalanan saya.”
Demikian luahan pelakon, Sabrina Azhar, 25, ketika namanya mula diperkatakan ramai, baik tentang personaliti mesranya, kepintaran atau kelantangannya melakukan perkara yang mengundang kontroversi.
Kehidupannya sepanjang bergelar pelajar di Korea Selatan beberapa tahun lalu banyak menyumbang kepada popularitinya. Dengan kefasihan berbahasa Korea, Sabrina sering diundang menjadi pemudah acara dengan artis terkenal Korea Selatan seperti Lee Je Hoon, Twice dan beberapa idol lain.
Namun Sabrina tidak terlepas kontroversi baik tentang penampilannya yang dilihat tidak selari dengan ajaran agama sehinggalah paling teruk, temu ramah Life of a hijabi K-Pop dancer oleh BBC yang tidak disambut baik netizen. Namun, itulah asam garam dilalui gadis asal Subang sehingga menjadikannya seorang Sabrina yang lebih tenang dan matang hari ini.
“Saya rasa bila di mata umum, ada sahaja benda yang mahu orang katakan tentang diri saya. Jika mereka mahu kutuk dan kecam, itu terpulang kepada mereka. Tapi percayalah, setiap hari saya mencari cara memperbaiki diri.
“Saya muncul di TikTok pada 2020, usia saya 21 tahun, sangat muda. Saya sendiri belajar banyak benda. Saya harap orang ramai dapat menganggap perjalanan saya sebagai pengajaran. Jika ada yang baik, ambil. Mana yang buruk diamkan saja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ditanya bagaimana seorang gadis muda sepertinya berhadapan komen yang begitu menghiris, pelakon Rahasiamu Selamat Denganku itu tersenyum.
“Tidak dinafikan pada awalnya saya agak terkesan. Namun mujurlah saya mempunyai sistem sokongan yang baik.
“Jika apa yang saya lakukan, jika baik, saya teruskan. Asalkan saya tidak menyakiti orang lain,” tambahnya.
Sebelum memulakan kerjaya lakonan di Malaysia, Sabrina terlebih dahulu melakukan debut lakonan pertamanya di Korea Selatan menerusi sebuah drama web bertajuk Girl In The Mirror pada 2023.
“Di Korea pada ketika itu, saya seorang sahaja orang luar tapi mereka tidak layan saya seperti orang luar. Bagaimanapun, masih ada rasa perbezaan budaya di sana yang saya rasakan.
“Berlakon di Malaysia saya rasa seperti berada di rumah sendiri. Tiada perkataan pengarah yang susah saya fahami. Lagi pula di Korea Selatan, saya berlakon untuk drama web yang produksinya kecil. Kali ini, durasi penggambaran lebih panjang dan lebih besar,” jelasnya.
Fasih bahasa Korea elak diskriminasi
Walaupun tidak pernah berhadapan situasi teruk layanan rasis seperti dialami orang lain, Sabrina bagaimanapun pernah menerima pandangan tidak menyenangkan daripada seorang mak cik yang menyangkanya tidak pandai bertutur bahasa Korea.
“Saya tidak pernah kena cabut tudung atau apa-apa layanan rasis yang melampau. Cuma ada makcik yang dia ingat saya tidak pandai cakap bahasa Korea. Jadi mereka pandang saya atas bawah. Bila saya cakap bahasa mereka, barulah mereka jadi ramah.
“Bukan saya mahu pertahankan mereka, cuma berdasarkan pemerhatian saya, mereka lebih ramah dengan orang yang pandai cakap Korea sebab memudahkan proses komunikasi,” katanya yang kini memiliki sebuah pangsapuri di Korea memudahkannya ulang alik ke sana atas urusan kerja.
Bagaimanapun, kini Sabrina terbuka untuk berulang alik Malaysia dan Korea Selatan sekiranya lakonannya mendapat tempat lebih luas di tanah kelahiran sendiri.
“Di Korea, saya ada agensi yang akan panggil saya jika ada kerja. Tapi di sini saya ada pengurus yang menguruskan kerjaya saya. Oleh sebab saya berkawan dengan Blimey, jadi langkah kanan saya sebagai pelakon juga atas cadangan mereka.
“Kalau selepas ini ada watak yang sesuai dengan saya, apa salahnya. Saya terbuka untuk itu,” katanya.
Drama Rahasiamu Selamat Denganku lakonan Sabrina ditayangkan di Astro Ria. Turut sama menjayakan naskhah itu ialah Siti Khadijah Halim, Alvin Chong, Dayana Roza dan ramai lagi.