RUU Mahkamah Syariah perkukuh undang-undang syariah

RUU Mahkamah Syariah perkukuh undang-undang syariah

MUSA AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyifatkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) bakal memperkukuh aspek pengurusan pentadbiran Mahkamah Syariah di Wilayah-wilayah Persekutuan.

Presidennya, Musa Awang berkata, pindaan kedua-dua RUU itu juga adalah untuk memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam di Wilayah-wilayah Persekutuan. 

Jelasnya, pindaan-pindaan yang dicadangkan akan memberikan kebaikan, manfaat dan memudahkan urusan masyarakat Islam di Mahkamah Syariah khususnya di Wilayah-wilayah Persekutuan. 

“Antara cadangan pindaan-pindaan tersebut, seksyen baharu 40A yang dicadangkan dalam RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam membolehkan seseorang Hakim atau Pendaftar Mahkamah Syariah menjalankan suatu prosiding bagi kes mal melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

“Ia mengambil kira terdapat keadaan darurat atau hal keadaan kes itu, asalkan perjalanan prosiding itu mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa, hukum syarak dan apa-apa arahan yang dibuat oleh pihak berkuasa serta perjalanan prosiding itu tidak menjejaskan keadilan, penyalahgunaan proses mahkamah dan tidak terdapat unsur keraguan, penipuan dan syak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, kedua-dua RUU itu  dijangka akan dibentang untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Selain itu, kata beliau, seksyen baharu 57b yang dicadangkan dalam RUU Pentadbiran Undang-undang Islam akan memberi kuasa kepada Ketua Hakim Syarie untuk mengeluarkan apa-apa arahan amalan sebagaimana yang perlu.

Jelas Musa, ia bagi maksud melaksanakan peruntukan Akta 505 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang berhubungan dengan tatacara mal Mahkamah Syariah, tatacara jenayah Syariah, keluarga Islam dan keterangan Syariah.  

Dalam pada itu, katanya, bagi aspek tatacara mal, cadangan meminda seksyen 3 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Akta 585) juga untuk membolehkan takrif baharu ‘teknologi komunikasi jarak jauh’ dimasukkan dan dilaksanakan. 

“Selain itu, cadangan pindaan seksyen 34 Akta 585 iaitu berhubung wakalah Peguam Syarie sudah pasti akan memudahkan proses pelantikan Peguam Syarie di Mahkamah Syariah. 

“Pelantikan dan penerimaan pelantikan boleh dilafazkan antara pihak-pihak dengan Peguam Syarienya dalam Borang muka surat 5 dan hendaklah difailkan di Mahkamah. Dengan pindaan ini, pihak-pihak dan Peguam Syarienya itu tidak lagi perlu hadir di hadapan Pendaftar mahkamah untuk melafazkan wakalah.

“Pada masa sama, pindaan kepada Seksyen 100 Akta 585 juga untuk mengadakan peruntukan bagi penerimaan keterangan melalui teknologi komunikasi jarak jauh, sesuai dengan perkembangan teknologi semasa dan arus kemodenan,” katanya.

Pada 2 Julai lalu, tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat melibatkan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 bertujuan meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 untuk memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam di kawasan berkenaan.

RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 pula bagi meminda Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya