SHAH ALAM: Kerajaan digesa untuk berunding dengan institusi perbankan serta agensi yang menawarkan pinjaman kewangan supaya memberikan kemudahan penangguhan bayaran pembiayaan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir.
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, penangguhan bayaran pinjaman seperti moratorium untuk jangka suatu tempoh akan memberi kelegaan kepada mangsa banjir.
“(Kerajaan) cepatlah pujuk bank-bank atau agensi di bawah KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kooperasi untuk bagi penangguhan pembayaran pinjaman seketika kepada mangsa banjir.
“(Penangguhan bayaran) insurans, pinjaman, cukai dan sebagainya. Bersatu faham derita orang yang berdepan banjir ini. Mereka sangat tertekan. Rumahnya tenggelam, barang dan harta benda musnah.
“Dengan adanya bantuan daripada bank dan syarikat pembiayaan lain, sekurang-kurangnya akan beri kelegaan kepada mangsa banjir,” kataya menyampaikan ucapan penangguhan sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di sini, hari ini.
Mas Ermieyati turut memuji tindakan segera sebuah bank tempatan atas inisiatif mereka untuk memberi penangguhan pembayaran pinjaman kepada mangsa banjir yang terjejas.
Setakat jam 8 pagi tadi, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 152,377 orang pagi ini berbanding 146,611 orang malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati menyelar respon perlahan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) kepada calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang menjadi mangsa banjir.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepatutnya sudah pun merangka SOP dan gerak kerja lebih awal bagi memudahkan ibu bapa membuat pertimbangan.
“Menteri Pendidikan tak menyatakan secara menyeluruh apakah pendekatan digunakan, rangka kerja atau SOP.
“Apa yang disampaikan tidak jelas untuk anak-anak yang hendak berhadapan dengan peperiksaan di sekolah-sekolah yang dijadikan PPS kerana terjejas akibat banjir.
“Sudah tahu bulan hujung tahun banjir, pukul 10.45 pagi baru nak buat sidang media,” katanya. – UTUSAN