TUMPAT: Sebanyak empat rumah, dua kedai makan dan sebuah kedai runcit sepanjang Jalan Jubakar Pantai, di sini runtuh selepas dibadai arus deras banjir pada Jumaat lalu.
Pemilik sebuah rumah yang runtuh, Che Kar Nik Mat, 60 berkata, kejadian itu mengejutkan kerana tidak menyangka arus banjir limpahan air Sungai Golok itu sangat deras meskipun sudah berdepan bencana tersebut sejak 30 tahun lalu.
Katanya yang bekerja sebagai buruh binaan, seramai 15 ahli keluarganya berada di dalam rumah terus keluar ekoran bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Menjelang waktu Maghrib air mula melimpah ke atas jalan. Ketika itu, saya ajak anak-anak membuat benteng menggunakan guni-guni pasir bagi mengelak air memasuki rumah.
“Bagaimanapun, air semakin deras dalam masa dua jam sebelum sebelah dinding rumah saya roboh dilanda arus deras.
“Kami sekeluarga keluar rumah sehelai sepinggang dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan,” katanya semalam.
Che Kar berkata, pasukan polis tiba untuk menyelamatkan mereka sekeluarga kira-kira pukul 9 malam.
Menurutnya, keesokan paginya dia datang menjenguk rumah sebelum mendapati kereta yang digunakan untuk membantu mangsa-mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sudah tersadai di tepi rumah.