KEMAMAN: Ketika penduduk lain terpaksa berpindah selepas kediaman masing-masing dinaiki air, sepasang suami isteri di Kampung Batu 16, Tebak, di sini, ‘terselamat’ hasil idea kreatif menjadikan rumah mereka yang dihuni sejak dua tahun lalu sebagai rumah rakit.
A. Bakar Che Ahmad, 69, atau lebih dikenali sebagai Pokwe berkata, rumah yang diberi nama ‘Rumahku, Rakitku’ berkeluasan 70 kaki persegi itu terapung sejak Selasa lalu selepas air Sungai Tebak melimpah ke kawasan kediamannya.
“Saya sedar rumah mula terapung perlahan-lahan kira-kira pukul 4 petang pada Selasa lalu semasa hujan lebat diikuti limpahan air dari kawasan hulu sungai,” katanya ketika ditemui semalam.
Pokwe berkata, rumah rakitnya yang dilengkapi lima bilik tidur lebih stabil selepas dia menambah 25 tong plastik di bahagian bawahnya menjadikan keseluruhan 94 tong plastik untuk mengapungkannya.
“Saya turut menukar dua batang tiang penyokong di kiri dan kanan rumah ini kepada tiang yang bersaiz lebih besar supaya tidak hanyutkan,” katanya.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, rumah yang dibina hasil inspirasi reban ayam terapung yang dibina pada 2019 untuk menyelamatkan ayam ternakannya sangat memudahkan urusannya dan isterinya, Fatimah Salleh, 63.
“Sebelum bina rumah ini, Pokwe dan isteri sentiasa bimbang setiap kali musim tengkujuh. Banyak perabot kami rosak kerana kawasan ini sering ditenggelami banjir.
“Lepas rumah ini siap pada hujung 2023, kami tidak perlu risau lagi nak kemas barang setiap kali banjir. Hanya tunggu rumah terapung sahaja,” katanya.
Bekas pemandu lori itu berkata, rumah yang boleh menampung berat hingga 15 tan metrik itu dianggarkan bernilai RM50,000 dan dibina hasil titik peluh ahli keluarganya yang terdiri daripada tujuh anak serta menantunya. – UTUSAN