Rosmah Mansor lepas, bebas 17 pertuduhan

Rosmah Mansor lepas, bebas 17 pertuduhan

ROSMAH Mansor dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. - UTUSAN/M.FIRDAUS M.JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertuduhan tidak lengkap dan bertindih.

Itu alasan utama Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan berhubung pengubahan wang haram dan elak cukai.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungI media selepas tamat prosiding memaklumkan, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Terdahulu, ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim K. Muniandy menyatakan, pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap Rosmah tidak mendedahkan elemen kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh.

“Bagi pertuduhan pertama hingga ke-12, pertuduhan menyatakan bahawa Rosmah telah terlibat dalam transaksi aktiviti haram, namun tidak menyatakan cara penglibatannya dalam transaksi berkenaan, sebaliknya hanya menyatakan `menyebabkan berjumlah jutaan ringgit dimasukkan ke dalam akaunnya’.

“Wang yang dirujuk dalam pertuduhan juga tidak mendedahkan transaksi yang dikatakan sebagai aktiviti haram dan elemen-elemen pengubahan wang haram sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) dan Akta Pencegahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

“Tanpa elemen-elemen tersebut, apa yang ada dalam pertuduhan hanyalah tindakan mendepositkan sejumlah wang ke dalam bank akaun yang mana tindakan itu bukanlah satu kesalahan di sini undang-undang,” kata hakim itu.

Berhubung lima pertuduhan elak cukai, Hakim Muniandy turut menyatakan pertuduhan-pertuduhan terbabit tidak mendedahkan aktiviti haram yang terlibat.

“Bagi pertuduhan ke-13 hingga 17, tiada sebarang pendedahan aktiviti haram. Perbuatan yang dinyatakan dalam pertuduhan menjurus kepada kesalahan mengikut Akta Cukai Pendapatan dan bukannya pengubahan wang haram.

“Kesalahan pengubahan wang haram menyatakan tempoh kesalahan yang dilakukan iaitu tidak mendedahkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah di antara 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. Namun kesalahan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukan oleh tertuduh (Rosmah) pada 1 Mei 2014.

“Berdasarkan AMLATFPUAA, kesalahan pengubahan wang haram terhasil daripada aktiviti haram yang dilakukan oleh tertuduh. Bagaimanapun, kesalahan yang dinyatakan mengikut Akta Cukai Pendapatan bermula dari tarikh kesalahan pengubahan wang haram berlaku yang mana tiada sebarang hasil aktiviti haram dinyatakan dalam pertuduhan.

“Pada asasnya, tiada sebarang hasil aktiviti haram yang boleh dikenalpasti (dalam pertuduhan). Adalah undang-undang yang mantap bahawa seseorang tertuduh perlu mengetahui secara terperinci kes yang dipertuduhkan terhadapnya dan tidak dibiarkan tertanya-tanya,” katanya.

Sehubungan itu, berdasarkan kesahihan, kebarangkalian dan kewajaran bagi kesemua 17 pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh, Hakim Muniandy memutuskan membenarkan permohonan Rosmah untuk membatalkan kesemua pertuduhan.

“Kesemua 17 pertuduhan dibatalkan sebagaimana yang dimohon dalam permohonan. Sehubungan itu, mahkamah ini juga melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada kesemua 17 pertuduhan,” kata Hakim Muniandy.

Perbicaraan kes itu telah bermula pada 24 Ogos 2023 dan dua orang saksi telah dipanggil memberi keterangan. Perbicaraan terhenti selepas Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan pertuduhan pada 6 September 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya