Rosmah anggap pembebasan buat ‘Bosku’

Rosmah anggap pembebasan hadiah buat ‘Bosku’

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Pembebasan ini bukan sahaja bermakna untuk hari lahir saya, tetapi juga hadiah buat bosku, Najib Razak”.

Demikian reaksi isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika ditemui media selepas Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskannya daripada 17 pertuduhan berkait pengubahan wang haram dan elak cukai, hari ini.

Usai prosiding, Rosmah yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya ke-73 pada 10 Disember lalu turut mengucapkan terima kasih kepada semua peguamnya yang bertungkus lumus dalam kes tersebut.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana semuanya telah selesai pada hari ini dan saya telah diberikan pembebasan penuh.

“Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua peguam saya yang telah bekerja keras sejak hari pertama. Mereka telah memberitahu saya bahawa tiada asas untuk pertuduhan-pertuduhan ini namun kita tidak pernah tahu apa yang akan berlaku,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Rosmah diwakili peguam-peguam bela iaitu Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Amer Hamzah Arshad.

Dalam pada itu, beliau yang anggun berpakaian serba merah turut menzahirkan penghargaan kepada Hakim K. Muniandy yang membuat keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah tepat dalam menegakkan keadilan.

“Inilah yang saya maksudkan sebagai keadilan dan inilah keadilan yang sepatutnya diterima oleh semua orang. Keadilan tidak seharusnya dipermainkan, bukan sahaja untuk kita tetapi juga untuk seluruh masyarakat,” ujarnya.

Pada 19 Disember 2018, kes Rosmah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini bagi 12 pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram dengan cara membenarkan kemasukan wang berjumlah RM7,097,750 ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau juga didakwa atas lima pertuduhan gagal membuat penyata pendapatan bagi wang tersebut kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.

Pada ketika ini, Rosmah masih mempunyai satu lagi kes membabitkan rasuah Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Kes itu dijadualkan untuk pendengaran rayuan tahun hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya